Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul pecah rekod cuaca seabad

    Pejalan kaki menggunakan payung semasa mereka menyeberangi jalan di Seoul pada 14 Ogos lalu, semasa gelombang panas berpanjangan yang melanda sebahagian besar negara itu. – AFP

     

    SEOUL, 16 OGOS – Penduduk ibu kota Korea Selatan menggunakan cara-cara baharu untuk mengatasi kepanasan apabila rekod cuaca seabad dipecahkan hari ini berikutan ‘malam tropika’ ke-26 berturut-turut – apabila suhu kekal di atas 25 darjah Celsius.

    “Saya mandi air sejuk sebelum tidur dan mengikat pek beku di sekeliling kipas elektrik saya untuk menyejukkan udara,” kata Lee Ji-soo kepada AFP hari ini.

    Suhu semalaman di Seoul meningkat melebihi 25 darjah Celsius selama 26 hari berturut-turut, kata pegawai-pegawai hari ini, menandakan rentetan terpanjang sejak pemerhatian cuaca moden bermula pada 1907.

    Malam-malam sebegini dikenali secara meluas sebagai ‘malam tropika’ di Korea Selatan.

    Sebahagian besar dunia sedang mengalami musim panas dengan cuaca terik, dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran bulan lalu tentang ‘wabak panas melampau’, dan menyeru tindakan untuk mengehadkan kesan perubahan iklim.

    Panas terik di Seoul dijangka berterusan, menurut pejabat meteorologi, mencatat rekod setiap hari sehingga minggu depan.

    “Udara sejuk tidak turun dari utara,” Youn Ki-han, pengarah di Bahagian Ramalan Meteorologi Seoul, memberitahu AFP.

    “Biasanya sekitar waktu ini suhu turun pada waktu pagi dan petang… tetapi buat masa ini kami masih belum nampak tanda-tanda itu lagi,” kata Youn.

    Ketika suhu meningkat, penduduk bergelut untuk mencari jalan menghadapi malam yang terik.

    “Saya rasa saya menghidupkan penghawa dingin saya 23 jam sehari,” kata Kim Young-sook, yang tinggal di daerah Gangnam, sebuah kawasan kejiranan mewah di Seoul.

    “Saya bimbang anjing saya akan menjadi terlalu panas – meskipun pada waktu malam.”

    Itu bukan pilihan untuk Lee Ji-soo, yang mengikat pek ais pada kipasnya.

    “Saya memang mempunyai penghawa dingin tetapi saya tidak mampu membayar bil elektrik,” katanya.

    “Udara kadang-kadang menyesakkan. Saya tidak tahu berapa lama saya boleh hidup seperti ini.” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda