SEOUL, 2 Ogos – Polis Seoul hari ini memohon waran tangkap antarabangsa bagi pengasas firma yang beribu pejabat di Singapura, selepas melancarkan siasatan ke atas syarikat itu dan sebuah firma baharu Korea Selatan berhubung dakwaan palsu penemuan ‘kapal harta karun’ Rusia yang telah lama hilang.
Shinil Group yang beribu pejabat di Seoul bulan lalu mengumumkan bahawa ia telah menemui bangkai kapal imperial, Dmitiri Donskoi di pantai timur Korea Selatan, dengan mengatakan bahawa kapal itu dipercayai mengandungi jong-kong emas dan wang syiling bernilai AS$130 bilion.
Tetapi sejak itu, firma itu berdepan soalan-soalan tentang sama ada pengumuman itu bertujuan melonjakkan harga saham atau memikat para pelabur membeli matawang maya yang mana syarikat Singapura itu, juga bernama Shinil Group, telah mula mengeluarkannya baru-baru ini.
Para pengawal atur kewangan telah mengumumkan penyiasatan ke atas firma Korea Selatan itu, manakala polis telah melancarkan siasatan jenayah minggu lalu, dan berkata pengasas syarikat Singapura, Shinil Group, yang nama keluarganya, Ryu, juga dikehendaki dalam kaitan dakwaan palsu sejak 2014.
“Dia adalah orang utama dalam komplot kapal harta karun yang disyaki,” seorang pegawai polis memberitahu AFP hari ini, dengan menambah kata bahawa pihak berkuasa telah meminta Interpol mengeluarkan notis merah untuk Ryu.
Notis merah adalah permohonan untuk mengesan dan menahan sementara seseorang dengan tujuan penyerahan balik. – AFP