Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul tangani isu risalah anti-Pyongyang

    SEOUL, 15 JUN – Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, kelmarin telah mengarahkan supaya langkah segera dirangka bagi menghalang pelancaran risalah anti-Pyongyang di kawasan sempadan dengan Korea Utara, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Arahan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai tindakan sebuah kumpulan masyarakat sivil yang melancarkan risalah berkenaan dari Pulau Ganghwa di Incheon, barat Seoul awal hari ini, menurut jurucakap presiden Kang Yu-jung dalam taklimat bertulis.

    Pihak polis kini sedang menyiasat tiga belon yang ditemukan di Ganghwa dan Bandar Gimpo.

    Belon berkenaan dilaporkan mengandungi buku kecil Bible dan snek, namun tiada risalah yang secara langsung mengkritik rejim Korea Utara ditemukan.

    “Kerajaan sebelum itu telah menegaskan pengedaran risalah anti-Pyongyang secara haram mesti dihentikan kerana ia boleh membahayakan keselamatan penduduk di kawasan sempadan dan meningkatkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea,” kata Kang sambil menambah bahawa kerajaan memandang serius tindakan pihak yang melanggar arahan itu.

    Beliau turut memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

    Mesyuarat bagi membincangkan langkah komprehensif terhadap isu itu dijadualkan berlangsung esok.

    Awal minggu ini, Presiden Lee juga mengarahkan agensi-agensi kerajaan berkaitan supaya merangka strategi menangani isu terbabit. – Bernama

    Lee Jae-myung bercakap semasa sidang media di ibu pejabat presiden, di Seoul, Korea Selatan pada 4 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda