Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Seoul, Tokyo, AS bincang ancaman senjata nuklear Pyongyang

    SEOUL, 8 DIS – Penasihat Keselamatan Tertinggi Seoul, Tokyo dan Washington akan bertemu di Seoul esok untuk membincangkan tentang ancaman senjata nuklear yang semakin meningkat, yang ditimbulkan oleh Korea Utara, kata Pejabat Presiden Korea Selatan.

    Mesyuarat itu – yang akan dihadiri oleh Cho Tae-yong dari Seoul, Takeo Akiba dari Tokyo dan Jake Sullivan dari Washington – diadakan kira-kira sebulan selepas ketua pertahanan tiga negara bersekutu itu bersetuju untuk mengaktifkan operasi perkongsian data masa nyata ke atas pelancaran peluru berpandu Korea Utara, bermula dari Disember.

    Pyongyang bulan lalu berjaya meletakkan satelit pengintip tentera di orbit dan sejak itu mendakwa satelit tersebut sudah menyediakan imej tapak utama tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

    Ketiga-tiga negara itu telah mengecam Korea Utara kerana melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu, yang melarangnya daripada melancarkan ujian menggunakan teknologi balistik, yang digunakan dalam kedua-dua peluru berpandu dan pelancaran roket angkasa lepas.

    Mesyuarat akan datang bakal membincangkan ‘kerjasama antara Korea Selatan, AS dan Jepun mengenai isu keselamatan serantau termasuk Korea Utara, isu global dan keselamatan ekonomi,’ kata Pejabat Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dalam satu kenyataan.

    Acara itu diadakan selaras dengan persetujuan yang dicapai oleh pemimpin sekutu pada sidang kemuncak tiga penjuru yang dihoskan oleh Presiden AS, Joe Biden, di Camp David pada Ogos, tambahnya.

    Kerajaan konservatif Yoon juga telah menjalankan usaha bersepadu untuk memperbaiki hubungan sejarah yang tegang dengan Jepun, bekas pemerintah jajahan negara itu.

    Pertemuan di Camp David menandakan kali pertama ketiga-tiga pemimpin itu bertemu untuk sidang kemuncak yang tersendiri.

    Pemimpin Pyongyang, Kim Jong Un telah menyifatkan perikatan pertahanan yang semakin berkembang antara ketiga-tiga buah negara itu sebagai ‘ancaman sebenar paling teruk’ yang dihadapi negaranya, yang kini semakin rapat dengan sekutu tradisional Rusia dan China. – AFP

    Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan (kiri), bergambar bersama rakan sejawatnya, Cho Tae-yong dari Korea Selatan semasa mesyuarat di Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan pada 8 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...