Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul, Tokyo, Beijing adakan sidang kemuncak tiga hala

    SEOUL, 26 NOV – Diplomat tertinggi Korea Selatan, Jepun dan China hari ini mengesahkan keperluan untuk mengadakan sidang kemuncak tiga hala secepatnya, kata menteri luar Seoul berikutan pertemuan tiga hala pertama mereka dalam lebih empat tahun.

    Mesyuarat menteri luar di bandar pelabuhan selatan Busan antara Park Jin, Yoko Kamikawa dan Wang Yi diadakan ketika Beijing telah menunjukkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap hubungan keselamatan Tokyo dan Seoul yang semakin erat dengan Washington.

    Ia juga berlaku beberapa hari selepas Korea Utara berjaya melancarkan satelit pengintip tenteranya yang pertama ke orbit, menyebabkan penggantungan perjanjian tentera lima tahun antara kedua-dua Korea yang bertujuan untuk mengurangkan ketegangan di semenanjung itu.

    “Ketiga-tiga menteri itu mengesahkan untuk mengadakan sidang kemuncak itu, kemuncak sistem kerjasama tiga hala, pada masa yang paling awal dan sesuai,” kata Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin, kepada pemberita selepas rundingan itu.

    “Kami bersetuju untuk mempercepatkan persiapan yang diperlukan,” tambahnya, tanpa memberikan jangka masa tertentu untuk sidang kemuncak itu.

    Tiada sidang kemuncak pemimpin diadakan sejak 2019, sebahagiannya disebabkan pertikaian diplomatik dan sejarah antara Korea Selatan dan bekas pemerintah kolonial Jepun.

    Pertikaian undang-undang mengenai pemerintahan Jepun pada 1910 hingga 1945 ke atas semenanjung berterusan antara kedua-dua negara.

    Pada Khamis, keputusan mahkamah Korea Selatan mengarahkan Jepun membayar pampasan kepada 16 wanita kerana perhambaan seksual paksa semasa Perang Dunia II, membatalkan keputusan mahkamah rendah yang menolak kes itu.

    Pada pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan menjelang rundingan tiga hala itu, Menteri Luar Jepun, Kamikawa, menggelar keputusan itu sebagai ‘amat dikesali’ dan meminta Seoul mengambil langkah untuk membetulkan ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa’. – AFP

    Yoko Kamikawa, Park Jin dan Wang Yi bergambar sebelum mesyuarat menteri luar tiga hala ke-10 di Busan kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda