KUALA LUMPUR 16 MEI – Malaysia meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Brunei 3-0 dalam acara regu berpasukan kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Dalam aksi pertama Kumpulan B itu, regu pertama Malaysia dibarisi Farhan Adam (apit kiri), Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) menyumbang mata pertama negara selepas menang 15-5, 15-10.
Regu kedua Malaysia Aidil Aiman Azwawi (apit kiri), Muhammad Zulkifli Abdul Razak (tekong) dan Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan) menyumbang mata kedua dengan kemenangan 15-7, 15-8.
Trio Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Muhammad Afifuddin Mohd Razali (apit kanan) melengkapkan kemenangan skuad negara dengan 15-5, 15-3.
Ketua jurulatih skuad Malaysia, Ahmad Jais Baharun mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun berjaya mengatasi Brunei.
“Saya berharap perlawanan kedua menentang Jepun malam ini kita dapat memperkemas prestasi pemain supaya dapat berikan persembahan lebih baik berbanding perlawanan pertama,” katanya.
Malaysia akan turun menentang Jepun malam ini bagi memburu tiket awal ke separuh akhir. – Bernama
