Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Masyarakat dan negara memerlukan kesejahteraan, ketenteraman dan keamanan yang tanpanya akan menjadikan negara huru-hara manakala masyarakat pula hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.
Untuk itu, sebuah pasukan penguat kuasa terutamanya pasukan polis diperlukan untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan penduduk negara ini agar sentiasa terjamin.
Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini mengatakan Negara Brunei Darussalam mempunyai pasukan polis yang bukan sahaja memikul amanah yang berat dalam mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah, malah mengumpul maklumat risikan keselamatan setiap masa.
Menurut khatib lagi, peredaran masa dan zaman teknologi maklumat pada masa ini, menyaksikan pelbagai jenis jenayah dan teknik penipuan canggih yang mencabar keupayaan dan kecekapan pasukan polis ini.
Maka kerjasama dan kesepakatan di antara polis dengan agensi penguatkuasaan lain dan pihak-pihak berkepentingan serta masyarakat amatlah diharapkan.
Khatib juga mengingatkan bahawa jenayah merupakan ancaman kepada negara dan usaha mengurangkan kadar jenayah serta menjaga keselamatan sempadan negara memerlukan tugas pasukan polis ini diperluaskan.
“Ini sesuai dengan perubahan masa dan teknik terbaru digunakan penjenayah seperti sindiket dadah, jenayah siber, penyeludupan manusia, sindiket pelacuran, kegiatan judi atas talian dan sebagainya,” katanya.
Khatib juga menekankan kerjasama masyarakat sebagai pemantau sukarelawan berperanan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, mampu mewujudkan perpaduan erat dan suasana aman dan harmoni, selain mampu membantu menurunkan kadar dan menyelesaikan kes jenayah.
Bersesuaian dengan kecanggihan teknologi, kebelakangan ini maklumat disalurkan dalam media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya, namun khatib mengingatkan pengguna agar berhati-hati menggunakan media sosial ini agar ia tidak menjadi medan menabur fitnah, menghasut, menimbulkan konflik atau kekecohan yang boleh mengancam keharmonian dan mengganggu gugat ketenteraman awam, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, diingatkan juga kepada pengguna yang memberi pendapat supaya sentiasa berwaspada semasa menyuarakan pandangan dan pendapat kerana tidak semua yang didengar dan dilihat itu 100 peratus betul.
“Carilah kesahihan atau kebenaran terlebih dulu kerana dikhuatiri pandangan atau pendapat tersebut boleh memecahbelahkan masyarakat dan menggugat keamanan negara,” tegasnya.
Antara cara kerjasama dan sokongan kepada pasukan polis adalah melalui Pasukan Pengawasan Kejiranan Kampung di semua daerah.
Ini merupakan usaha pasukan polis dalam melahirkan kerjasama dan mengeratkan hubungan dengan orang ramai bagi mencegah dan mengurangkan kes jenayah di mana orang ramai boleh melaporkan perkara mencurigakan kepada polis.
Dengan adanya kerjasama erat seperti ini, akan dapat memberikan kesejahteraan dan keamanan negara yang berterusan seperti yang diimpikan setiap rakyat, penduduk dan negara, ujar khatib.