Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) buat julung kalinya akan menganjurkan Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (BDIICF) 2024.
Acara yang menjurus kepada penglibatan di peringkat antarabangsa itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Oktober nanti, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Sementara itu, perjanjian kerjasama antara institusi-institusi berkenaan dimeterai secara dalam talian dengan menggunakan mekanisme platform Zoom bersama Pusat Penyelidikan Islam dan Kesenian, Sejarah dan Kebudayaan Islam (IRCICA) dan secara fizikal bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan di Bilik Muzakarah, Rumah Semaun, Jalan Jerambak, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan juga Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB, juga selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi BDIICF 2024.
Turut hadir bagi menyaksikan penandatanganan perjanjian kerjasama itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy.

Menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan dan juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi BDIICF 2024.
Sementara itu, menandatangani bagi pihak IRCICA secara maya ialah Ketua Pengarah IRCICA, Republik Turkiye, Profesor Dr Mahmut Erol Kilic.
Manakala, menandatangani bagi pihak UNISSA pula ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan bagi pihak KUPU SB ialah Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi BDIICF 2024.
Penandatanganan tersebut diharapkan dapat mencapai tujuan usahasama dan mewujudkan kerjasama di antara semua pihak dalam merealisasikan perlaksanaan dan penganjuran acara itu nanti.
Antara pengisian program BDIICF 2024 nanti ialah majlis pelancaran, pembentangan ucaptama, penyampaian hadiah pertandingan seni khat peringkat serantau Asia dan pameran kaligrafi Islam antarabangsa.
Selain itu, beberapa buah forum dan bengkel turut dikendalikan oleh pakar-pakar penulis khat antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Maghribi dan Republik Turkiye.
PPKKI-YSHHB juga akan menganjurkan pertandingan seni khat peringkat spontan sempena BDIICF 2024, dan pelbagai aktiviti lain juga akan dianjurkan bersempena acara berkenaan.
Acara bagi projek pertama itu dikendalikan secara berkolaborasi oleh Yayasan melalui PPKKI-YSHHB bersama beberapa institusi yang lain iaitu IRCICA, Republik Turkiye; UNISSA; dan KUPU SB.
Majlis turut dihadiri oleh penolong-penolong pengarah urusan Yayasan serta sebahagian pegawai-pegawai kanan Yayasan, UNISSA dan KUPU SB.

