MADRID, 28 JULAI – Kerajaan Sepanyol hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan menjalankan penghantaran udara sebanyak 12 tan makanan ke Gaza minggu ini, sebagai tindak balas terhadap ancaman kebuluran yang semakin memburuk di wilayah Palestin tersebut selepas 21 bulan konflik berterusan.
Penghantaran itu merupakan langkah luar biasa dari sebuah negara Eropah, yang menyertai negara-negara Timur Tengah dalam usaha menyampaikan bantuan melalui udara ke Gaza.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, yang dikenali sebagai antara pengkritik paling lantang terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza, berkata misi itu akan dilakukan dari Jordan pada Jumaat ini menggunakan pesawat tentera udara Sepanyol.
“Kebuluran di Gaza adalah memalukan bagi seluruh manusia dan menghentikannya adalah satu tanggungjawab moral yang tidak boleh diabaikan,” katanya dalam sidang media.
Kementerian Pertahanan Sepanyol memaklumkan bahawa penghantaran itu akan menggunakan model operasi yang sama seperti misi terdahulu pada Mac 2024, ketika 26 tan makanan berjaya dihantar ke wilayah berkenaan.
Walaupun Israel mula membenarkan bantuan masuk ke Gaza, jumlahnya masih belum mencukupi.
Namun pihak berkuasa meragui keberkesanan penghantaran udara, kerana tidak mampu menampung keperluan makanan dalam skala besar secara selamat. – AFP
