Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol batal kontrak peluru berpandu buatan Israel

    MADRID, 4 JUN – Sepanyol telah membatalkan perjanjian pembelian sistem peluru berpandu anti-kereta kebal yang sepatutnya dibangunkan di Madrid oleh anak syarikat syarikat pertahanan Israel, sebagai langkah untuk menjauhkan diri daripada teknologi ketenteraan Israel, menurut Kementerian Pertahanan negara itu kelmarin.

    Keputusan tersebut melibatkan lesen untuk 168 sistem peluru berpandu SPIKE LR2 bernilai sekitar AS$325 juta, yang sepatutnya dibangunkan oleh Pap Tecnos, anak syarikat Rafael Advanced Defense Systems dari Israel yang berpangkalan di Madrid.

    “Matlamatnya jelas… pemutusan sepenuhnya daripada teknologi Israel,” kata jurucakap kerajaan, Pilar Alegría, sambil memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji kesan pembatalan itu.

    Kementerian Pertahanan Israel merujuk sebarang pertanyaan kepada syarikat Rafael.

    Dalam kenyataan kepada Associated Press, Rafael berkata pihaknya belum dimaklumkan mengenai sebarang pembatalan. Pap Tecnos pula tidak memberikan sebarang komen.

    Perjanjian tersebut diluluskan pada 3 Oktober 2023, empat hari sebelum serangan oleh Hamas di selatan Israel yang mencetuskan perang di Gaza. Ketika itu, pihak berkuasa Sepanyol berhujah bahawa sistem peluru berpandu sedia ada telah usang dan perlu diganti dengan versi terkini yang digunakan oleh tentera negara-negara sekutu.

    Kerajaan berhaluan kiri Sepanyol mendakwa mereka menghentikan eksport senjata ke Israel bermula 2 Oktober 2023, namun beberapa laporan menyebut terdapat penghantaran yang tetap berjaya melepasi sekatan.

    Akhir tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) turut membuka siasatan sama ada Sepanyol sebagai sekutu NATO telah menolak kemasukan sekurang-kurangnya tiga kapal kargo yang dipercayai membawa senjata AS ke Israel. – AP

    Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles, tiba untuk menghadiri mesyuarat Kumpulan Perhubungan Pertahanan Ukraine di ibu pejabat NATO di Brussels, pada 11 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda