Sepanyol belasah Romania

MADRID, 19 NOV – Sepanyol menamatkan kempen kelayakan Euro 2020 dengan aksi hebat selepas berjaya membelasah Romania dengan keputusan 5-0 kelmarin untuk menjamin kedudukan pasukan itu di tangga teratas untuk perlawanan akhir nanti.

Dengan secara automatik melayakkan diri serta menetapkan sebagai tempat pertama selepas membenam Malta dengan keputusan 7-0 Sabtu lalu, Sepanyol sekali lagi berpesta gol pada perlawanan di Wanda Metropolitano, di mana pemain penyerang Gerard Moreno menjaringkan dua gol pada perlawanan itu. Meski belum pernah dikalahkan sebelum ini dalam Kumpulan F selepas 10 perlawanan, termasuk lapan perlawanan menang dan 31 jaringan gol direkodkan, kedudukan Robert Moreno sebagai jurulatih masih tergugat.

Menurut laporan media Sepanyol sekali pun skuad kendaliannya membelasah Romania 5-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi, jurulatih Sepanyol itu akan dilucutkan jawatannya

Akhbar Sepanyol, El Mundo melaporkan bekas jurulatih, Luis Enrique akan kembali melatih skuad kebangsaan selepas lima bulan meletak jawatan berikutan penyakit yang dihadapi anak perempuannya Xana yang meninggal dunia pada September lalu.

Moreno, penolong Enrique selama bertahun-tahun sebelum mengambil alih tugas jurulatih pada Jun lalu, enggan menghadiri sidang media selepas perlawanan berakhir.

Moreno memenangi empat daripada enam perlawanan selaku jurulatih Sepanyol dan seri dua dengan pasukannya terikat 1-1 bertemu Sweden pada kelayakan Euro 2020 bulan lalu. – AFP

Aksi Oyarzabal (tengah) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Romania di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid, kelmarin. – AFP