Sepanyol buka semula sempadan dengan Perancis

LA JONQUERA, SEPANYOL, 21 JUN – Aliran trafik kembali merentas sempadan Sepanyol dengan Perancis hari ini ketika sekatan terakhir koronavirus yang dilaksanakan oleh Sepanyol sejak bulan Mac telah dilonggarkan.

Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan awal bulan ini bahawa Madrid akan menghapuskan pemeriksaan sempadan sebahagian besar negara anggota EU dari 21 Jun kerana usaha untuk mengawal pandemik kelihatan berkesan.

Sepanyol antara negara yang paling teruk terjejas, dengan lebih dari 28,000 kematian dan hampir 300,000 kes, dengan ekonomi mereka dan terutamanya industri pelancongan utama terjejas teruk.

Madrid, ibu kota, dan Barcelona dan rantau Catalan, teruk terjejas dan kekal di bawah sekatan ketan berbanding kawasan lain.

Hari ini, wartawan AFP di persimpangan Perthus berhampiran sempadan melihat kereta melintas dua arah setiap dua atau tiga minit, dengan lebih banyak perjalanan dari Sepanyol ke Perancis.

Kereta-kereta menyeberang sempadan Perancis-Sepanyol di La Jonquera selepas sekatan koronavirus dilonggarkan oleh Sepanyol. – AFP

Tiada pemeriksaan dari tengah malam dan aliran trafik bergerak lancar.

Kerajaan Sepanyol mengumumkan kelmarin bahawa bermula hari ini warga negara anggota EU dan mereka yang berasal dari zon Schengen bebas pasport akan dibenarkan memasuki Sepanyol, tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Portugal walau bagaimanapun akan terus menutup sempadannya kepada Sepanyol sehingga 1 Julai.

Dalam ‘normal baharu’, warga Sepanyol dimestikan untuk memakai penutup hidung dan mulut di tempat yang tertutup, menjaga penjarakan sosial 1.5 meter sementara akses ke kolam renang, pantai, hotel dan restoran akan dihadkan dengan sewajarnya.

Kira-kira 600 orang kakitangan kementerian kesihatan akan memantau lapangan terbang untuk memeriksa maklumat peribadi dan suhu kedatangan penumpang asing. – AFP