MADRID, 8 JUN – Pihak berkuasa Sepanyol cuba mengesan seekor beruang perang dan anaknya yang terpisah selepas serangan kejam oleh seekor beruang jantan yang sempat dirakam menggunakan kamera oleh dua orang saksi.
Serangan tersebut berlaku di lereng gunung berbatu di wilayah utara Castilla y Leon.
Walaupun ibu beruang itu berjaya melawan penyerangnya, ia masih mengalami kecederaan dan terpisah daripada anaknya, menurut rakaman yang dikeluarkan kelmarin. “Kami tahu ibu beruang itu cedera dan kami tidak tahu apa-apa lagi selain itu, siasatan masih dijalankan,” kata sumber di kementerian alam sekitar serantau kepada AFP.
Dalam rakaman yang berdurasi dua minit setengah itu, dua ekor beruang dewasa tersebut dilihat bertarung selama kira-kira 40 saat sebelum terjatuh ke tepi dan terhempas di lereng bukit yang berbatu.
Sementara itu, beruang jantan yang jauh lebih besar daripada beruang betina, ditemui mati akibat kecederaan yang dialami ketika jatuh, kata pegawai.
Manakala ibu beruang yang cedera akhirnya bangun dan cuba mencari anaknya, walaupun tidak jelas sama ada haiwan itu dapat disatukan semula.
Dalam satu catatan dalam laman Twitter, kementerian alam sekitar serantau berkata pada musim ini, ibu beruang sering terpaksa memperta-hankan anaknya daripada serangan beruang jantan dewasa. – AFP
