MADRID, 16 SEPT – Sepanyol merekodkan musim paling panas sejak 1961 dengan purata suhu mencecah 24.2 darjah Celsius, kata agensi meteorologi negara itu (AEMET) kelmarin.
Jurucakap AEMET, Ruben del Campo berkata angka tersebut mengatasi rekod terdahulu pada 2022 sekali gus menandakan trend peningkatan suhu yang berterusan di negara berkenaan.
Sembilan daripada 10 musim panas terpanas di Sepanyol berlaku pada abad ke-21, termasuk gelombang haba terburuk pada Ogos lalu yang berlarutan selama 16 hari, mengorbankan empat nyawa akibat kebakaran hutan serta dianggarkan menyebabkan lebih 1,100 kematian berkaitan cuaca panas ekstrem, kebanyakannya warga emas.
Sejak 1975, AEMET telah merekodkan 77 gelombang haba, dengan enam daripadanya melebihi 4 darjah Celsius daripada purata, lima daripadanya berlaku selepas 2019.
Fenomena cuaca ekstrem turut dilaporkan di Britain, Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing mengalami musim panas paling panas sejak rekod pencatatan suhu dimulakan, selaras dengan amaran saintis mengenai kesan perubahan iklim akibat aktiviti manusia. – AFP


