Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol gesa EU hentikan penjualan senjata kepada Israel

    MADRID, 18 JUN – Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengenakan larangan penjualan senjata ke atas Israel sebagai langkah
    untuk menamatkan konflik berterusan di Gaza.

    Dalam temu bual bersama Bloomberg TV kelmarin, Albares menegaskan bahawa EU sebagai rakan dagang terbesar Israel di peringkat global mempunyai pengaruh yang besar terhadap negara itu.

    “Blok ini mesti mengenakan sekatan senjata supaya negara-negara Eropah tidak menjual senjata kepada Israel selama perang ini masih berterusan,” katanya.

    Albares merupakan antara pengkritik lantang terhadap konflik di Gaza dan penyokong tegar penyelesaian dua negara.

    Mengulas konflik terbaharu antara Israel dan Iran, Albares menyeru kedua-dua pihak supaya meredakan ketegangan.

    “Ketika ini, kita perlu menghentikan serangan peluru berpandu dan bom antara Israel dan Iran dan memastikan isu berkaitan program nuklear Iran diselesaikan dengan baik, serta Iran menjauhi pembangunan senjata nuklear melalui rundingan diplomatik,” katanya.

    Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya 5,139 rakyat Palestin terbunuh dan 16,882 lagi cedera sejak Israel melancarkan semula serangan besar-besaran pada 18 Mac.

    Angka itu menjadikan jumlah korban sejak Oktober 2023 mencecah 55,432 orang, manakala 128,923 lagi cedera. – Bernama

    Jose Manuel Albares semasa sidang media mengenai perjanjian pasca-Brexit antara Sepanyol dan Gibraltar di ibu pejabat EU di Brussels pada 11 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda