MADRID, 20 DIS – Kerajaan berhaluan kiri Sepanyol kelmarin berkata ia mahu kantin sekolah hanya menyediakan air untuk diminum dan mengharamkan alternatif bergula sebagai sebahagian daripada langkah baharu untuk menangani obesiti kanak-kanak.
Kementerian Hak Pengguna berkata di X ia sedang menyediakan undang-undang yang mencadangkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran segar harian dan hanya menghidangkan air untuk diminum semasa makan.
Laporan baru-baru ini mendapati jumlah kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan berusia enam hingga sembilan tahun sedang berkurangan di Sepanyol tetapi masih berakar umbi dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, satu cabaran yang dihadapi oleh banyak negara maju.
Menurut laporan itu lagi, murid-murid tersebut cenderung untuk meminum lebih banyak minuman manis dan kurang makan buah-buahan serta sayur-sayuran segar.
Kira-kira separuh daripada pelajar kanak-kanak biasanya bersarapan dan membeli makanan utama mereka di sekolah.
“Dalam demokrasi dan ekonomi yang maju seperti Sepanyol, pemakanan dan kesihatan kanak-kanak lelaki dan perempuan tidak boleh bergantung pada tempat mereka dilahirkan,” kata Menteri Hak Pengguna, Pablo Bustinduy. – AFP
