MADRID, 25 SEPT – Sepanyol mengumumkan kelmarin bahawa ia akan memboikot upacara angkat sumpah presiden Mexico yang baharu dipilih, Claudia Sheinbaum, kerana Raja Felipe VI tidak dijemput.
Madrid menyifatkan pengecualian raja tersebut daripada upacara pada 1 Oktober itu sebagai tidak dapat diterima.
“Atas sebab ini, kerajaan Sepanyol telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam pelantikan tersebut pada mana-mana peringkat,” kata kementerian luar Sepanyol dalam satu kenyataan.
Mexico telah menerbitkan senarai tetamu seminggu yang lalu untuk upacara angkat sumpah Sheinbaum, yang akan menjadi presiden wanita pertama negara itu selepas kemenangan besar parti pemerintah sayap kiri itu dalam pilihan raya bulan Jun.
Raja Felipe VI tidak ada dalam dalam senarai tersebut yang termasuk pemimpin-pemimpin kiri serantau serta Wanita Pertama Amerka Syarikat (AS), Jill Biden.
Walaupun Mexico dan Sepanyol mempunyai hubungan sejarah dan ekonomi yang rapat, hubungan antara negara Amerika Latin itu dan bekas penjajahnya telah tegang sejak Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, sekutu Sheinbaum, memegang jawatan pada tahun 2018.
Madrid telah menolak tuntutannya untuk meminta maaf atas peristiwa penaklukan Sepanyol lima abad yang lalu. – AFP