KRASNODAR, 1 Julai – Cesar Azpilicueta yakin Sepanyol mempunyai kemampuan untuk bersaing merebut kejuaraan Piala Dunia walaupun bermula hambar dan menyaksikan pengendali sebelumnya Julen Lopetegui dipecat sebelum kejohanan.
Juara edisi 2010 itu layak ke kelompok 16 terakhir sebagai juara Kumpulan B mengatasi Portugal, dan akan berdepan tuan rumah Russia di Moscow hari ini.
Sepanyol tidak terkalahkan selama 23 perlawanan, sejak Kejoahan Euro 2016, namun keputusan Persekutuan Bola sepak Sepanyol untuk memecat Lopetegui selepas pengendali itu menerima lamaran Real Madrid, kerana bimbang ia akan mengganggu kempen mereka di Piala Dunia.
“Memang jelas ia situasi yang jarang berlaku, tetapi itu yang terjadi dan anda perlu menerima keadaan ini,” kata pemain pertahanan Chelsea, Azpilicutea ketika menjawab soalan wartawan AFP.
“Anda tidak boleh mengelak, anda perlu menerima kenyataan. Kami perlu melakukan tugas kami dengan cara terbaik dan pergi sejauh mungkin.”

Fernando Hierro, bekas kapten Real yang beraksi 89 kali untuk Sepanyol, dilantik menggantikan Lopetegui walaupun mempunyai pengalaman terhad sebagai pengendali.
Pengendali berusia 50 tahun itu hanya pernah membimbing kelab divisyen dua Sepanyol Oviedo untuk semusim, tetapi Azpilicueta yakin dia mampu melaksanakan peranan di peringkat antarabangsa.
“Fernando menunjukkan semangat yang kuat, dia melibatkan diri. Dia berdepan dengan situasi ini dan akan berbuat semampunya untuk membantu kami, untuk memperbaiki pasukan,” tambahnya.
“Saya yakin kami akan mencapai matlamat kami.”
“Dinamik kami sangat baik. Sama seperti sejak dua tahun lalu. Pasukan kami bersatu, ingin mara, dahagakan kemenangan. Setiap jurulatih mempunyai cara mereka yang tersendiri, namun tiada perubahan besar telah dibuat,” tambahnya.
Ujian sebenar Hierrao adalah apabila berdepan Russia yang mendapat sokongan padu 80,000 penonton di Stadium Luzhniki dan Azpilicueta sedar ancaman bakal diberikan skuad tuan rumah itu.
“Kami perlu bermain habis-habisan dari minit pertama hingga terakhir. Russia adalah pasukan yang mantap secara fizikal dengan pemain-pemain berkualiti dan kami pernah kena ketika aksi persahabatan di St Petersburg (seri 3-3),” katanya. – AFP