BARCELONA, 4 OGOS – Sepanyol dan Portugal kelmarin bersiap sedia untuk berdepan gelombang cuaca panas baharu yang melanda semenanjung Iberia, dengan Lisbon memberi amaran tentang risiko kebakaran hutan adalah sangat tinggi.
Suhu diramalkan antara 5 celsius (C) hingga 10C melebihi norma bermusim, dengan agensi cuaca Sepanyol, Aemet memberi amaran bahawa kemungkinan gelombang haba berpanjangan dan berterusan sehingga Ahad depan.
Sebahagian daripada Extremadura di barat Sepanyol dan Andalusia di selatan berdepan potensi suhu sehingga 42C, manakala Portugal melanjutkan amaran kebakaran hutan sehingga Khamis ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Sementara itu, pasukan bomba Sepanyol sedang berusaha untuk mengawal kebakaran yang telah memusnahkan sekitar 570 hektar berhampiran bandar barat laut Vilardevos.
Kebakaran telah memusnahkan lebih daripada 25,700 hektar kawasan di Portugal sejak awal 2025, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS).
Para saintis telah lama memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong oleh pembakaran bahan api fosil manusia menjadikan berlakunya cuaca ekstrem seperti gelombang haba yang mungkin meningkat. – AFP


