Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol setuju pertimbang permit pemastautin warga asing

    BARCELONA, 10 APRIL – Parlimen Sepanyol bersetuju kelmarin untuk mempertimbangkan rang undang-undang yang boleh memberikan permit pemastautin dan kerja kepada ratusan ribu warga asing yang tinggal di Sepanyol tanpa dokumen yang sah.

    Cadangan itu dibentang di Kongres Perwakilan di Madrid oleh inisiatif rakyat selepas ia memperoleh lebih 700,000 tandatangan dan sokongan kira-kira 900 buah organisasi, bermula daripada kumpulan hak migran kepada persatuan Katolik.

    Penggubal undang-undang mengundi 310 berbanding 33 untuk menerima cadangan itu dipertimbangkan, di mana hanya parti VOX sayap kanan yang menentangnya. Undang-undang itu kini akan mula dikemukakan di dewan rendah parlimen di mana ia akan dibahaskan secara meluas dan mungkin dipinda sebelum versi terakhirnya.

    Rang undang-undang itu akan memberikan status sah kepada warga asing yang tiba di Sepanyol sebelum 1 November 2021, termasuk ratusan ribu pendatang dari Amerika Latin dan Afrika. Undang-undang tersebut bukan sahaja membenarkan mereka tinggal dan bekerja di Sepanyol secara sah tetapi juga membolehkan mereka membayar cukai, menyumbang kepada keselamatan sosial dan mengakses penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan awam yang lain.

    Antara 390,000 hingga 470,000 warga asing tinggal secara tidak tetap di Sepanyol menurut pengarang inisiatif itu. Ramai yang bertahan dengan bekerja dalam ekonomi terhad sebagai pemetik buah, penjaga, pemandu penghantaran atau pekerjaan lain bergaji rendah tetapi penting bagi mereka. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda