Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol tarik balik perintah berkurung selepas kebakaran hutan terkawal

    BARCELONA, 9 JULAI – Pihak berkuasa Sepanyol menarik balik perintah berkurung bagi ribuan penduduk di wilayah timur laut Catalonia hari ini selepas kebakaran hutan yang berlarutan selama tiga hari mula berjaya dikawal.

    Kebakaran yang meletus pada Isnin itu telah memusnahkan lebih 3,300 hektar tanah di wilayah Tarragona, termasuk taman semula jadi terlindung Els Ports yang merangkumi kira-kira satu pertiga kawasan terjejas, menurut pegawai renjer Catalonia.

    Perintah berkurung yang dikeluarkan untuk kira-kira 18,000 penduduk kelmarin ditarik balik, kecuali bagi kawasan perbandaran Pauls, di mana penduduk hanya dibenarkan keluar rumah tetapi masih dilarang meninggalkan kawasan tersebut, menurut kenyataan
    pihak perlindungan awam Catalonia di platform X.

    Perkhidmatan bomba Catalonia memaklumkan bahawa kebakaran telah stabil, namun operasi pemadaman diteruskan di beberapa kawasan panas melibatkan pasukan darat, helikopter dan pesawat pemadam kebakaran, termasuk di kawasan tebing dan lokasi sukar diakses.

    Pakar iklim menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan gelombang haba yang lebih kerap, panjang dan melampau sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan besar-besaran.

    Sepanyol baru-baru ini mengalami gelombang haba ekstrem yang menyebabkan tanah menjadi kering, manakala agensi cuaca negara, AEMET, melaporkan bahawa bulan Jun lalu merupakan bulan paling panas pernah dicatatkan dalam sejarah negara itu. – AFP

    Gambar menunjukkan helikopter memadam kebakaran hutan berhampiran Pauls, bersebelahan Tarragona, di wilayah Catalonia Sepanyol pada 8 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda