TENERIFE, 19 NOV – Bryan Zaragoza menyempurnakan sepakan penalti lewat untuk membantu juara Euro 2024, Sepanyol menewaskan Switzerland 3-2 dalam perlawanan Liga Negara-Negara kelmarin.
Juara bertahan Liga Negara-Negara itu, yang sudah menjamin tempat teratas dalam Kumpulan A4, mendahului dua kali tetapi dikejar oleh pasukan yang sudah tersingkir, Switzerland, di Tenerife.
Ia merupakan perlawanan pertama Sepanyol di pulau itu dalam tempoh 28 tahun dan peminat dapat meraikan kemenangan selepas sepakan penalti lewat oleh pemain sayap Bayern Munich, Zaragoza.
Jurulatih, Luis de la Fuente merombak keseluruhan barisannya daripada kemenangan ke atas Denmark pada Jumaat lalu, memberikan pemain pertahanan tengah Athletic Bilbao, Aitor Paredes penampilan sulungnya.
Yeremi Pino, anak kelahiran Kepulauan Canary, meletakkan Sepanyol di hadapan di tanah airnya pada minit ke-32 selepas penalti Pedri diselamatkan.
Kapten Alvaro Morata memenangi sepakan penalti dan menyerahkan bola kepada Pedri untuk mengambil sepakan itu, tetapi Yvon Mvogo berjaya menyelamatkan percubaan pemain tengah Barcelona itu.
De la Fuente memasukkan seorang lagi pemain yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada separuh masa, iaitu penyerang Porto, Samu Aghehowa.
Joel Monteiro menyamakan kedudukan untuk Switzerland tetapi beberapa minit kemudian Bryan Gil kembali merebut semula bola untuk kembali meletakkan Sepanyol di hadapan.
Andi Zeqiri menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas Fabian Ruiz melakukan kekasaran pada minit ke-85, tetapi Zaragoza memastikan Sepanyol dapat menutup tahun yang luar biasa dengan cemerlang.
Pemain sayap itu, yang dipinjamkan ke Osasuna daripada Bayern, membuat larian pantas ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan oleh Vincent Sierro. – AFP