Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol tumpas sindiket penyeludupan pendatang Albania

    MADRID, 9 OKT – Polis Sepanyol berkata semalam mereka telah menumpaskan kumpulan yang disyaki menyeludup pendatang Albania termasuk kanak-kanak ke Britain, disembunyikan sebagai penumpang dalam keadaan berbahaya di atas feri dan kapal dagangan.

    Pegawai menahan tujuh suspek, semuanya warga Albania daripada ‘organisasi jenayah utama’, semasa operasi yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) Britain, kata pasukan polis Guardia Civil.

    Antara mereka yang ditahan termasuk dua orang yang disyaki ketua kumpulan tersebut, yang ditahan pada Isnin ketika menaiki penerbangan di lapangan terbang Madrid menuju ke Albania, menurut pasukan polis dalam satu kenyataan.

    Para penyeludup mengenakan bayaran sehingga 15,000 euro kepada warga Albania untuk membawa mereka jauh dari pelabuhan di utara Sepanyol.

    “Kaedah yang digunakan untuk menyembunyikan mereka menimbulkan risiko kepada nyawa atau integriti fizikal pendatang, sebahagian daripada mereka di bawah umur,” kata kenyataan tersebut.

    Polis berkata kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak 2014, dan akan ‘merekrut’ pendatang di Albania atau kem berhampiran pelabuhan utara.

    Rangkaian penyeludupan menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada pendatang sehingga mereka memulakan perjalanan ke Britain. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pendatang tidur di atas dek kapal penyelamat selepas diselamatkan semasa operasi di zon perairan antarabangsa, di laut Mediterranean. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda