MADRID, 21 MAC – Ahli parlimen Sepanyol kelmarin mengundi untuk menamatkan larangan memburu serigala di utara negara itu, tiga tahun selepas ia diperkenalkan oleh kerajaan minoriti haluan kiri Perdana Menteri Pedro Sanchez.
Sepanyol mengisytiharkan serigala Iberia yang tinggal di utara sungai Douro sebagai spesies yang dilindungi pada 2021, melanjutkan larangan memburu sedia ada yang dilaksanakan di selatan atas bantahan petani yang berpendapat bahawa ia akan membawa kepada lebih banyak serangan ke atas ternakan mereka.
Pemburuan terkawal spesies itu telah dibenarkan di wilayah itu termasuk Asturias, Cantabria, Castile dan Leon, serta Galicia di mana sebahagian besar serigala Iberia di negara itu tinggal.
Larangan memburu itu kembali diperkenalkan melalui pindaan undang-undang mengenai sisa makanan dan diluluskan dengan undian penggubal undang-undang dari Parti Popular (PP) pembangkang utama konservatif, Vox, parti wilayah Basque PNV dan pemisah Catalan JxCat.
Pindaan yang diperkenalkan oleh PP menetapkan bahawa penangkapan dan pembunuhan serigala mungkin dibenarkan sekiranya berlaku ancaman kepada ‘sistem produktif’ Sepanyol, iaitu keluaran pertanian.
Ia mengeluarkan serigala daripada senarai spesies liar di bawah perlindungan khas di utara Douro.
Kumpulan pemuliharaan Ecologists in Action menggelar pembatalan larangan memburu itu tidak bertanggungjawab manakala parti hak haiwan, PACMA, menyifatkan ia sebagai langkah mundur dalam pemuliharaan hidupan liar dalam beberapa tahun. – AFP
