Saturday, February 8, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Separuh akhir janjikan terbaik

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Perlawanan separuh akhir hingga ke final Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017 bakal menyajikan perlawanan menarik, demikian yang dikatakan oleh pengerusi kejohanan, Awang Rosdin Haji Abdul Aziz.

    Pusingan kedua selepas peringkat kumpulan ini bakal bermula pada 7 hingga 12 November ini, dengan menyaksikan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menentang Pasukan Kementerian Pertahanan pada 7 November depan di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, manakala separuh akhir kedua akan menyaksikan Pasukan Jabatan Perdana Menteri menentang Kementerian Pembangunan pada 8 November.

    Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat akan berlangsung pada 11 November di Kompleks Sukan Berakas dan perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 12 November 2017.

    Ketika dihubungi, Awang Rosdin berkata kemuncak pertemuan empat pasukan di separuh akhir ini sudah setentunya akan memperlihatkan satu pertembungan yang menarik kerana setelah sekian lama berehat.

    Trofi Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017 kini menjadi rebutan empat pasukan terakhir kejohanan.

    “Sukar untuk diramalkan tapi pasukan yang bijak mengatur strategi dan tidak mensia-siakan peluang pada separuh akhir nanti sudah pasti menjadi pasukan yang layak ke peringkat akhir.

    “Keempat-empat pasukan mempunyai kekuatan masing-masing dan mungkin tekanan sudah dapat dirasakan oleh Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam usaha mereka mengekalkan kejuaraan.”

    Beliau mewakili Jawatankuasa Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017 mengucapkan tahniah kepada empat buah pasukan yang layak ke separuh akhir dan mengharapkan semua pasukan yang bertanding pada separuh akhir nanti akan memberikan persembahan yang terbaik dan berkualiti dalam harapan mereka untuk melangkah ke perlawanan akhir.

    “Bermainlah dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi, di samping mengutamakan permainan ‘Fair Play’,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda