Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Penutupan sementara separuh jalan di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara akan bermula hari ini dan esok hingga 3 Februari.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataannya memaklumkan penutupan sementara separuh jalan di Jejambat Gadong, Lebuh raya Sultan Hassanal Bolkiah berdekatan Stesen Minyak Menglait dan Jejambat Al-Muhtadee Billah, Jalan Putera Al-Muhtadee Billah bermula hari ini hingga 3 Februari dari pukul 10 malam hingga 6 pagi.
Penutupan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja mengecat pagar jambatan di jejambat berkenaan.
Sementara itu penutupan sementara separuh jalan di Lebuh raya Muara-Tutong menghala ke Muara akan melibatkan kawasan KM53.3 hingga KM53.1 yang bermula esok hingga 3 Februari.
Penutupan adalah disebabkan kerja-kerja pembaikan jalan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memperlahankan kenderaan dan sentiasa berhati-hati di kawasan-kawasan tersebut.
Secara berasingan, JKR turut memaklumkan mengenai kerja-kerja pemasangan paip air Overcrossing baharu di Simpang 703, Kampung Sungai Kuru, Lumut di Daerah Belait.
Berikutan itu, sebahagian kawasan akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah terutama di kawasan tanah tinggi.
Kawasan yang terjejas adalah di seluruh kawasan Kampung Sungai Kuru, Kampung Sungai Bakong, kawasan stesen penjana elektrik Lumut, seluruh kawasan SPARK, Kampung Lumut dan sebahagian kawasan di Kampung Agis-Agis.
Sehubungan itu, untuk sebarang permohonan pembekalan lori tangki air boleh menghubungi Talian Darussalam 123.