Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Separuh masyarakat peribumi terpencil berdepan kepupusan

    LONDON, 28 OKT – Hampir separuh daripada masyarakat peribumi yang hidup terputus dari dunia luar berisiko pupus dalam tempoh sedekad akibat aktiviti pembalakan, perlombongan dan pelancongan, menurut amaran daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Survival International kelmarin.
     
    “Kami benar-benar mahu dunia, khususnya kerajaan dan industri, mengiktiraf serta menangani isu ini sebagai satu kecemasan global,” kata Pengarah Eksekutif Survival International, Caroline Pearce, pada sidang media di London yang turut dihadiri oleh pelakon Amerika Syarikat dan penyokong lama hak masyarakat peribumi, Richard Gere.
     
    Menurut laporan NGO itu, sebanyak 196 kumpulan dan komuniti yang dikenali sebagai ‘tidak dapat dihubungi’ kerana memilih untuk hidup secara sukarela tersisih daripada masyarakat manusia lain, telah dikenal pasti di 10 buah negara.
     
    Lebih 90 peratus daripada mereka tinggal di hutan hujan Amazon, terutamanya di Brazil, manakala kumpulan lain turut direkodkan di Indonesia dan India.
     
    “Ancaman terhadap hampir separuh daripada komuniti ini begitu serius sehingga mereka boleh lenyap dalam tempoh 10 tahun akan datang,” menurut laporan tersebut.
     
    Ketua masyarakat peribumi Kakataibo dari wilayah Ucayali, Peru, Herlin Odicio bergambar selepas sidang media mengenai ‘Masyarakat Peribumi Tidak Berhubung’ di Galeri Rebecca Hossack pada 27 Oktober. – AFP
    Komuniti Kakataibo di wilayah Ucayali, Peru, antara yang berdepan masa depan paling tidak menentu.
     
    Ahli komuniti Kakataibo, Herlin Odicio, yang tidak hidup terpencil, kini berkempen bagi pihak kaumnya menentang aktiviti pembalakan haram dan penanaman koko yang mengancam kelangsungan hidup mereka.
     
    “Di Peru, kerajaan sedang menghapuskan undang-undang yang melindungi hak peribumi,” katanya pada sidang media, sambil memberi amaran bahawa komuniti mereka mungkin berdepan ‘kepupusan’.
     
    “Kami bukan meminta ihsan kerajaan. Ini adalah hak nenek moyang kami,” tegasnya.
     
    Hak masyarakat peribumi, khususnya hak tanah, dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, namun walaupun terdapat undang-undang di peringkat nasional, ‘pelaksanaannya sering kali lemah,’ menurut NGO berkenaan.
     
    Di Indonesia, peningkatan eksploitasi nikel bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap bateri kenderaan elektrik kini mengancam kehidupan masyarakat pemburu dan pengembara nomad Hongana Manyawa, menurut laporan itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda