Separuh penduduk Brunei daftar BruHealth

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Separuh daripada penduduk di negara ini telahpun mendaftar sebagai pengguna aplikasi BruHealth, di mana setakat ini sejumlah 272,190 orang ramai dan 5,330 buah syarikat dan premis telah mendaftar untuk aplikasi berkenaan.

Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menyediakan meja bantuan atau help desk untuk membantu orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth.

Help desk yang dimaksudkan akan ditempatkan di Kompleks Membeli-belah Rimba yang akan dibukakan bermula 12 Jun, iaitu setiap hari Jumaat hingga Ahad pada jam 9 pagi hingga 9 malam serta di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada setiap hari Ahad jam 10 pagi hingga 5 petang.”

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Berkenaan dengan jangkitan kes COVID-19 di negara ini, menurutnya, tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan, hari ini, dan jumlah keseluruhan kes kekal pada 141 orang dengan jumlah kes yang sembuh juga masih 138 orang.

“Pada masa yang sama, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana beliau masih dalam keadaan kritikal serta memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 320 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 20,205 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap semasa sidang media berkenaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan