Separuh penduduk Brunei warga bekerja

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) telah melaksanakan Kaji selidik Tenaga Kerja (LFS) 2019 bermula dari 14 Oktober hingga 10 November 2019 di mana ia bermatlamat untuk mengumpul maklumat terkini mengenai saiz, struktur, pengagihan dan ciri-ciri bagi tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran serta ciri-ciri ekonomi lain penduduk yang akan digunakan untuk membantu dalam perancangan, penyelidikan, penggubalan dasar serta pengurusan berhubungan dengan tenaga kerja di negara ini.

Kaji selidik berkenaan meliputi sebanyak kira-kira 3,200 isi rumah terpilih di seluruh negara yang menggunakan kaedah pensampelan sistematik di mana data yang diperoleh dari isi rumah terpilih itu, diekstrapolasi mengikut pemberat pensampelan dan kemudian ditentukur untuk mewakili keseluruhan penduduk yang mendiami dalam isi rumah di Negara Brunei Darussalam.

Hasil daripada LFS 2019 menunjukkan bahawa terdapat sebanyak kira-kira 94,600 isi rumah dan 370,000 orang yang berusia 15 tahun dan ke atas.

Laporan itu juga menunjukkan data akhir bagi aktiviti ekonomi penduduk Negara Brunei Darussalam pada 2019 di mana ia menyediakan maklumat mengenai dengan usia bekerja dan tenaga kerja, kadar penyertaan tenaga kerja, status pekerjaan, jenis aktiviti ekonomi, pekerjaan, sektor pekerjaan, sektor informal dan pekerjaan informal, masa bekerja dan pendapatan daripada pekerjaan, pengangguran serta kurang penggunaan buruh.

Pengumpulan statistik pekerja bagi Negara Brunei Darussalam menerusi Kaji Selidik Tenaga Kerja itu adalah selaras dengan standard antarabangsa baharu yang diangkat oleh 19th International Conference of Labour Statisticians (19th ICLS) pada 2013.

Peranan Pusat Pekerjaan Brunei (JobCentre Brunei – JCB) yang mula beroperasi secara rasminya pada 11 Januari 2017 merupakan tempat pencari pekerjaan untuk mendapatkan maklumat dan kekosongan jawatan dalam sektor swasta. Pada tahun 2019 kadar pengangguran ialah 6.8 peratus iaitu menurun daripada 8.7 peratus pada 2018 dan kadar pengangguran bagi belia di antara 15 hingga 24 tahun juga lebih tinggi iaitu pada 21.3 peratus. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Ia juga merupakan resolusi terkini yang mengandungi rangka kerja baharu bagi statistik pasaran kerja termasuk statistik yang berkaitan dengan kerja, pekerjaan dan kurang penggunaan buruh.

Hasil dapatan daripada LFS 2019 dibahagikan kepada pelbagai bahagian iaitu usia bekerja penduduk dan tenaga kerja, pekerjaan, sektor informal, pekerjaan informal, masa bekerja dan pendapatan daripada pekerjaan serta pengangguran dan kurang penggunaan buruh.

Menerusi kaji selidik berkenaan, ia mendapati bahawa pada 2019, terdapat seramai 370,000 orang yang berusia 15 tahun dan ke atas di Negara Brunei Darussalam di mana daripada jumlah itu, seramai 237,900 orang berada dalam tenaga kerja berbanding dengan 221,000 orang pada 2018 dan ini menunjukkan kadar pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus dari 2018 ke 2019.

Manakala itu, kadar penyertaan tenaga kerja pula menurun daripada 64.3 peratus pada 2019 daripada 65.4 peratus pada 2018 serta kadar lelaki juga meningkat iaitu 72.5 peratus daripada wanita pada 54.8 peratus.

Hasil dapatan kaji selidik berkenaan bagi pekerjaan mendapati bahawa jumlah keseluruhan mereka yang bekerja ialah 221,700 orang yang merangkumi 135,800 orang lelaki atau 61.3 peratus dan 85,900 orang wanita atau 38.7 peratus.

Kajian juga mendapati bahawa pekerja tempatan merangkumi sebanyak 66.5 peratus atau 147,400 orang pekerja manakala 33.5 peratus iaitu 74,300 orang adalah pekerja asing.

Sebahagian besar jumlah mereka yang bekerja mengikut status pekerjaan mereka adalah pekerja iaitu merangkumi 91.0 peratus atau 201,800 orang dan jumlah mereka yang bekerja sendiri atau bersama rakan kongsi (own-account workers) telah meningkat daripada 8,800 orang pada 2018 kepada 12,100 orang pada 2019.

Manakala itu, pembahagian pekerjaan mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan mendominasi pembahagian berkenaan khususnya dalam pentadbiran awam dengan 19 peratus iaitu 42,000 orang diikut dengan perdagangan borong dan runcit dengan 16 peratus iaitu 35,500 orang dan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan sebanyak 9.6 peratus iaitu 21,300 orang.

Sementara itu, pembahagian pekerja dari segi pekerjaan menunjukkan bahawa pekerja perkhidmatan dan jualan merangkumi sebahagian besar iaitu 20.2 peratus atau 44,900 orang dikuti dengan profesional sebanyak 17.5 peratus atau 38,800 orang dan pekerja dalam pekerjaan asas sebanyak 15.8 peratus atau 35,000 orang.

Hasil kajian juga mendapati bahawa perkadaran pekerjaan sektor awam kepada sektor swasta ialah kira-kira 40:60 di mana jumlah penduduk tempatan yang bekerja di sektor swasta meningkat daripada 70,900 orang pada 2018 kepada 74,400 orang pada 2019 serta bahagian pekerjaan sektor swasta juga meningkat daripada 62.6 peratus pada 2018 kepada 66.2 peratus pada 2019.

Kajian juga mendapati bahawa sebanyak kira-kira 17,900 orang atau 8.1 peratus jumlah keseluruhan pekerja, bekerja di sektor informal iaitu jumlah yang menurun daripada 19,800 orang pada 2018.

Kajian menerangkan bahawa sektor informal merangkumi kesemua perusahaan peniagaan swasta yang tidak berdaftar yang tidak menyimpan rekod akaun di mana ia meliputi pekerja domestik untuk rumah-rumah yang meliputi sebanyak 53.2 peratus pekerjaan dalam sektor informal.

Manakala itu, selebihnya 46.8 peratus atau 8,400 orang bekerja dalam aktiviti lain terutamanya dalam sektor perkhidmatan di mana ia termasuk menjalankan perniagaan kecil dari rumah-rumah seperti menjual makanan tradisional dan pelbagai jenis makanan lain.

Laporan kaji selidik itu seterusnya menjelaskan mengenai konsep pekerjaan informal di mana ia bermaksud pekerjaan sementara itu, konsep sektor informal pula bermaksud unit produksi.

Dalam banyak kes, mereka yang bekerja dalam sektor informal juga dikategorikan sebagai mempunyai pekerjaan informal. Pada masa yang sama, pekerjaan informal juga boleh berlaku dalam sektor formal. Pekerjaan informal merujuk kepada seseorang yang bekerja yang tidak menerima liputan sekuriti sosial, cuti sakit bergaji dan cuti tahunan bergaji di mana pada 2019, sebanyak 92,600 orang pekerja atau 41.7 peratus jumlah keseluruhan penduduk yang bekerja mempunyai pekerjaan informal.

Laporan itu menyatakan lagi bahawa daripada jumlah keseluruhan pekerjaan informal, sebanyak kira-kira 34.1 peratus atau 31,500 orang ialah warga tempatan, di mana sebahagian besar mereka ialah pekerja iaitu 74.4 peratus atau 23,500 orang dan pekerja sendiri pula sebanyak 19.8 peratus atau 6,200 orang. Sebanyak tiga suku pekerja informal tempatan iaitu 24,300 orang atau 77.0 peratus adalah dalam sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit.

Laporan berkenaan menjelaskan bahawa dari segi waktu bekerja dan pendapatan daripada pekerjaan, secara purata jam bekerja seminggu bagi pekerjaan utama ialah 46.8 jam pada 2019 iaitu menurun jika dibandingkan dengan 2018 iaitu 47.5 jam.

Daripada jumlah penduduk yang bekerja, hanya sebahagian kecil iaitu 2.3 peratus juga terlibat dalam pekerjaan atau aktiviti sekunder dan bagi semua pekerjaan iaitu pekerjaan utama dan sekunder, sebanyak kira-kira 30.1 peratus atau 66,800 orang penduduk yang bekerja, bekerja lebih daripada 48 jam seminggu.

Sementara itu, purata pendapatan bulanan bagi semua pekerjaan pada 2019 ialah $1,626 bagi setiap orang yang bekerja jika dibandingkan dengan $1,593 pada 2018. Sementara itu, secara purata pekerja tempatan mendapat pendapatan bulanan yang lebih tinggi iaitu $1,812 manakala pekerja asing mendapat sebanyak $1,261 sebulan secara purata.

Kaji selidik itu turut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan pengangguran ialah 16,200 orang pada 2019 iaitu menurun jika dibandingkan dengan 2018 iaitu seramai 19,200 orang.

Daripada jumlah berkenaan seramai 8,500 orang atau 52.6 peratus adalah lelaki dan 7,700 orang atau 47.4 peratus adalah perempuan manakala itu, daripada jumlah pengangguran seramai 16,200 orang berkenaan, kira-kira 16,000 orang adalah warga tempatan.

Di kalangan penganggur berkenaan, kira-kira 39.8 peratus atau 6,500 orang adalah belia yang berusia 15 hingga 24 tahun, lebih daripada separuh iaitu 60.2 peratus atau 9,800 orang adalah berusia di antara 25 hingga 64 tahun dan tidak ada penganggur yang direkodkan bagi yang berusia 65 tahun dan ke atas.

Manakala itu, daripada segi pencapaian pendidikan, sebahagian besar mereka yang tidak mempunyai pekerjaan adalah di kalangan mereka yang mempunyai pendidikan peringkat menengah iaitu seramai 8,800 orang atau 54.1 peratus, diikuti dengan mereka yang mempunyai pendidikan peringkat pengajian tinggi iaitu seramai 3,500 orang atau 21.7 peratus, pendidikan teknikal dan vokasional sebanyak 2,800 orang atau 17.1 peratus serta pendidikan rendah sebanyak 1,100 orang atau 7.1 peratus.

Kaji selidik itu juga mendapati bahawa lebih daripada separuh iaitu 10,500 orang atau 64.4 peratus mereka yang tidak mempunyai pekerjaan telah mencari pekerjaan lebih dari 12 bulan, manakala kira-kira suku iaitu 3,500 orang atau 21.4 peratus telah mencari kerja kurang dari enam bulan dan 14.1 peratus atau 2,300 orang mencari kerja di antara enam hingga 12 bulan.

Kaji selidik itu menyatakan lagi bahawa kadar pengangguran keseluruhan pada 2019 ialah 6.8 peratus iaitu menurun daripada 8.7 peratus pada 2018 dan kadar pengangguran bagi belia di antara 15 hingga 24 tahun juga lebih tinggi iaitu pada 21.3 peratus.

Daripada segi kurang penggunaan buruh atau pekerja, jumlah keseluruhan mereka yang terkesan oleh perkara berkenaan ialah sebanyak 45,700 orang iaitu kurang penggunaan buruh berkaitan masa (time-related underemployed) sebanyak 17,000 orang atau sebagai pengangguran sebanyak 16,200 orang atau dalam tenaga kerja berpotensi sebagai tersedia bukan pencari kerja (available non-jobseeker) atau pencari kerja tidak tersedia (unavailable jobseeker) sebanyak 12,500 orang.

Sehubungan dengan itu, kaji selidik mendapati bahawa kadar kurang penggunaan buruh adalah 18.2 peratus iaitu lebih daripada dua kali ganda kadar pengangguran kebangsaan.