COPENHAGEN, 11 JAN – Lebih separuh daripada penduduk di Eropah diramal dijangkiti Omicron dalam dua bulan akan datang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, ketika berjuta-juta di China menghadapi sekatan baharu pada ulang tahun kedua kematian COVID-19 pertama di dunia.
Varian yang sangat mudah menular telah menjejaskan negara-negara dunia dengan pantas, memaksa kerajaan untuk mengenakan langkah baharu dan bergegas mengagihkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.
Eropah kini berada di pusat wabak baharu yang membimbangkan – kemasukan ke hospital dan kematian juga semakin meningkat – dan WHO berkata, Omicron boleh menjangkiti separuh daripada penduduk di rantau itu pada kadar jangkitan semasa.
“Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) meramalkan bahawa lebih daripada 50 peratus penduduk di rantau ini akan dijangkiti Omicron dalam tempoh enam hingga lapan minggu akan datang,” kata Hans Kluge, pengarah wilayah untuk pejabat WHO di Eropah.
Wilayah Eropah WHO meliputi 53 negara dan wilayah termasuk beberapa di Asia Tengah dan Kluge berkata 50 daripadanya mempunyai kes Omicron.
Kluge mengesahkan bahawa Omicron lebih mudah menular berbanding varian sebelumnya, tetapi menegaskan “vaksin yang diluluskan terus memberikan perlindungan yang baik terhadap penyakit dan kematian yang teruk, termasuk bagi Omicron.”
Amaran itu datang tepat dua tahun selepas mangsa pertama meninggal dunia akibat virus yang kemudian dikenal pasti sebagai COVID-19 – seorang lelaki berusia 61 tahun di Wuhan, China, tempat virus itu mula-mula dikesan.
Sejak 11 Januari, 2020, kematian yang diketahui dalam pandemik tersebut meningkat kepada hampir 5.5 juta. – AFP