Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Separuh tasik terbesar dunia semakin kering

    WASHINGTON, 21 MEI – Kajian Universiti Colorado Boulder di Amerika Syarikat (AS) mendapati lebih separuh daripada tasik dan takungan air terbesar di dunia semakin mengering airnya.

    Pengarang bersama kertas kajian itu, Balaji Rajagopalan, berkata ia secara langsung mencetuskan risiko keselamatan bekalan air pada masa depan bagi manusia.

    “Ini memberi kesan kepada 25 peratus penduduk dunia yang tinggal di persekitaran kawasan tasik, bermakna kira-kira dua bilion orang akan terjejas.

    “Perubahan iklim dan penggunaan tidak mampan menjadi punca utama masalah ini. Tasik menghadapi masalah di seluruh dunia, dan ia mempunyai kesan jangka panjang yang lebih meluas,” katanya dalam kajian yang diterbitkan dalam majalah Science.

    Tambah beliau, berbanding sungai, yang lebih diberi perhatian dari aspek saintifik, tasik bagaimanapun tidak dipantau dengan baik, walaupun ia sangat penting untuk keselamatan air.

    Gambar fail bertarikh 6 April 2023 menunjukkan air tadahan yang surut di belakang empangan Sidi Salem, empangan terbesar di Tunisia, barat laut Testour. – AFP

    Rentetan itu, pasukan kajian yang turut membabitkan saintis dari AS, Perancis dan Arab Saudi, meneliti 1,972 tasik dan takungan terbesar di bumi, menggunakan satelit dari 1992 hingga 2020 untuk mengkaji persoalan itu secara sistematik.

    Katanya, hasil kajian mendapati 53 peratus tasik dan takungan menyaksikan penurunan air, pada kadar kira-kira 22 gigaton (bersamaan satu bilion tan metrik) setahun.

    “Sepanjang tempoh yang dikaji, 603 kilometer padu air hilang, iaitu 17 kali ganda air di Tasik Mead, sebuah takungan terbesar di AS.

    “Bagi tasik semula jadi, banyak kerugian disebabkan oleh pemanasan iklim serta penggunaan air manusia,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda