RIO DE JANEIRO, 29 April – Brazil akan menutup separuh daripada unit-unit ‘polis pengaman’ yang beroperasi di kawasan setinggan di Rio de Janeiro, menurut kerajaan, merujuk kepada projek berusia 10 tahun yang pernah membangkitkan harapan bagi memulihkan keamanan di kawasan padat, yang penuh dengan jenayah di bandar itu.
Keputusan itu yang diumumkan lewat Jumaat lalu, akan menyaksikan 12 daripada 38 unit yang digelar unit polis pengaman (UPP) untuk ditutup dan tujuh lagi bergabung menjadi unit operasi yang sedia ada.
“Tiada sesiapa pun mahu menutup UPP. Tetapi adakah unit-unit ini sebenarnya memenuhi matlamat mereka? Biarlah kami bersikap realistik, unit-unit ini tidak memenuhi matlamat mereka,” menurut Menteri Keselamatan Awam Raul Jungmann semasa mengumumkan penutupan unit-unit itu.
Unit-unit UPP pertama kali diperkenalkan pada tahun 2008 dalam usaha untuk ‘mengamankan’ kawasan-kawasan setinggan utama di bandar itu dan mengusir pengedar dadah sebelum Piala Dunia 2014 dan Olimpik Musim Panas 2016.
Ideanya adalah untuk mewujudkan pasukan pegawai polis tempatan khas yang dilatih untuk menangani masalah keganasan dan dadah.
Pasukan ini tinggal dan menjalankan rondaan dalam komuniti mereka, dalam cuba untuk mendapatkan kepercayaan para penduduk setempat dan memaksa para pengedar dadah keluar dari tempat itu.
Dalam tempoh sedekad lalu, 38 buah unit seumpamanya telah dihantar untuk menjaga 264 kawasan miskin yang dicengkam jenayah yang didiami lebih 1.5 juta orang.
Pada mulanya, strategi nampaknya berkesan, dengan berkurangnya keganasan di kawasan-kawasan berkenaan.
Namun pada tahun 2013, beberapa dakwaan mula muncul apabila polis pengaman sendiri terlibat dalam rasuah termasuk melancarkan tindakan secara sembarangan. – AFP