KARACHI, 22 MEI – Sekumpulan doktor dan doktor haiwan di Pakistan telah melaksanakan rawatan baharu bagi sepasang gajah yang menghidap penyakit tuberkulosis (TB), yang melibatkan pemberian sekurang-kurangnya 400 biji pil sehari kepada haiwan tersebut.
Usaha besar-besaran oleh kakitangan di Taman Safari Karachi itu melibatkan pemberian pil – yang sama seperti digunakan untuk merawat TB pada manusia – yang disembunyikan dalam makanan seperti epal, pisang, dan manisan tradisional Pakistan.
Jumlah ubat yang diberikan disesuaikan mengikut berat kedua-dua ekor gajah yang masing-masing seberat sekitar 4,000 kilogram (8,800 paun).
Namun, Madhubala dan Malika mengambil masa beberapa minggu untuk menyesuaikan diri dengan rawatan itu, selepas pada awalnya mereka meludah semula beberapa dos pertama ubat pahit itu dan bertindak agresif terhadap penjaga mereka.
“Memberi rawatan TB kepada gajah memang mencabar. Setiap hari kami gunakan kaedah yang berbeza,” kata Buddhika Bandara, pakar bedah veterinar dari Sri Lanka yang diterbangkan khas untuk menyelia rawatan tersebut.
“Haiwan-haiwan ini menunjukkan tanda-tanda tekanan pada awalnya, tetapi lama-kelamaan mereka menyesuaikan diri dengan prosedur ini,” kata Bandara, yang telah membantu lebih sedozen gajah sembuh daripada penyakit ini di Sri Lanka.
Penjaga gajah terpaksa bangun awal setiap hari untuk memasak nasi dan kacang dal, dicampur dengan banyak molases tebu, lalu menggulung campuran tersebut menjadi bebola yang diselitkan dengan pil-pil ubat.
“Saya tahu pil itu pahit,” kata pemuda berusia 22 tahun itu sambil memerhatikan gajah-gajah berendam di bawah pancuran air untuk menyejukkan badan.
Empat ekor gajah Afrika — yang ditangkap semasa masih kecil di hutan liar Tanzania — dibawa ke Karachi pada tahun 2009.
Noor Jehan mati pada tahun 2023 ketika berusia 17 tahun, dan seekor lagi, Sonia, mati pada akhir tahun 2024. Bedah siasat menunjukkan Sonia dijangkiti tuberkulosis, penyakit yang endemik di Pakistan.
Ujian yang dijalankan ke atas Madhubala dan Malika juga menunjukkan hasil positif, lalu majlis bandaraya selaku pemilik rasmi taman safari telah menubuhkan pasukan untuk merawat gajah-gajah tersebut.
Bandara berkata tidak jarang bagi gajah untuk dijangkiti penyakit berjangkit itu daripada manusia, namun Sonia – dan kini Madhubala dan Malika – tidak menunjukkan sebarang simptom.
“Saya terkejut apabila mendapati gajah boleh menghidap TB,” kata Dr. Naseem Salahuddin, ketua Jabatan Penyakit Berjangkit di Indus Hospital and Health Network, yang ditugaskan memantau keselamatan kakitangan.
“Ini merupakan kes yang menarik untuk saya dan para pelajar – semua ingin tahu tentang prosedur rawatan dan perkembangannya,” katanya kepada AFP.
Empat penjaga gajah tersebut memakai pelitup muka dan pakaian khas setiap kali memberi makan, bagi mengelakkan risiko dijangkiti penyakit yang menjejaskan lebih 500,000 manusia setiap tahun.
Taman Safari Karachi telah lama dikritik kerana layanan buruk terhadap haiwan yang dikurung – termasuk seekor gajah yang pernah dipindahkan hasil kempen oleh penyanyi terkenal Amerika, Cher – namun pihak taman berharap dua ekor gajah terakhir ini akan berjaya sembuh melalui pelan rawatan selama setahun. – AFP
