Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepasang kekasih didakwa bunuh budak lelaki

    BATU PAHAT, 5 JAN – Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lepas.

    Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa dengan niat bersama membunuh kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu antara 8 pagi hingga 2 petang, pada 23 Dis 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua penganggur itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan rakan kepada kakak mangsa, tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

    Di mahkamah berasingan, kakak kepada kanak-kanak itu, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya adik lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

    Suri rumah itu yang dipertanggungjawab menjaga adiknya didakwa melakukan perbuatan terbabit di Senggarang, Batu Pahat antara 10 pagi hingga 10 malam, antara November hingga Disember 2022. – Bernama

    Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat, kelmarin atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda