PORT DICKSON, 22 JAN – Polis menahan sepasang kekasih selepas disyaki terlibat menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang anak damit perempuan di sebuah rumah di Telok Kemang di Negeri Sembilan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada jam 11:13 pagi mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan telah selesai melahirkan tetapi anak damitnya gagal dikesan.
Beliau berkata siasatan lanjut yang dijalankan telah menemukan anak damit berkenaan disembunyikan dalam beg di bilik sebuah rumah di sini.
“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan ke atas anak damit perempuan yang sudah cukup sifat namun disahkan meninggal dunia dan terdapat kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9) IPKNS dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD PD membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia 18 tahun dan lelaki tempatan, 21 tahun, di dua lokasi berasingan pada jam 8:30 hingga jam 8:45 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil semakan rekod lampau mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan motif kejadian disebabkan rasa bimbang serta takut dengan keluarga.
Maslan berkata turut dirampas adalah uri, pakaian, senjata dan telefon bimbit bagi siasatan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majisteret Port Dickson untuk permohonan reman pagi ini. – Bernama