Sepasang suami isteri ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes penipuan wang berjumlah RM95,180 membabitkan isteri pelawak Along Cham iaitu Afreena Suhaimi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek dalam lingkungan 20an itu ditahan pada pukul 10 malam Rabu.
Pasangan itu ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang dan pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek.
“Kedua-dua suspek ditahan pada 10 malam tadi di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang.
“Kita akan memohon reman mereka di Mahkamah Kajang,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Pada Rabu, Afreena membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mendakwa dia mangsa penipuan seorang wanita dikenali sebagai Ika.
Dakwa Afreena, dia menyerahkan wang sebanyak RM95,180 kepada wanita terbabit bagi membantu Along yang ketika itu ditahan akibat kes membabitkan dadah.
Afreena turut berkongsi tangkap layar bersama seorang pengguna Instagram yang mendakwa dia menjadi mangsa penipuan Ika.
Pada 28 Januari lalu, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, mendakwa Afreena menyeleweng dana sumbangan orang ramai termasuk rakan artis berjumlah hampir RM100,000.
Dakwaan itu dibuat Along sehari selepas Mahkamah Sesyen Sepang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) pelawak berkenaan daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis. – Agensi