COPENHAGEN, 10 OKT – Satu daripada tiga doktor dan jururawat di Eropah dilaporkan mengalami kemurungan atau keresahan, menurut kajian yang diterbitkan, hari ini, oleh cawangan Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Laporan itu menyatakan kadar tersebut adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding populasi umum di Eropah.
“Krisis kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan adalah krisis keselamatan kesihatan, yang mengancam keutuhan sistem penjagaan kesihatan kita,” kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge dalam satu kenyataan.
“Lebih daripada seorang dalam sepuluh pernah terfikir untuk menamatkan nyawa atau mencederakan diri sendiri. Ini merupakan beban yang tidak boleh diterima terhadap mereka yang menjaga kita,” katanya.
Kajian itu mendapati doktor dan jururawat yang mengalami keganasan, bekerja dalam syif panjang secara berterusan, serta bertugas waktu malam lebih cenderung mengalami kemurungan, keresahan dan pemikiran untuk membunuh diri.
Mereka juga menunjukkan kadar pemikiran untuk membunuh diri dua kali ganda lebih tinggi berbanding populasi umum.
Jururawat dan doktor wanita lebih berisiko mengalami kemurungan dan keresahan, manakala doktor lelaki pula lebih cenderung menghidap ketagihan alkohol.
Petugas kesihatan di Latvia dan Poland melaporkan kadar kemurungan tertinggi, dengan hampir separuh responden terjejas. Negara dengan kadar paling rendah pula ialah Denmark dan Iceland, sekitar 15 peratus.
Kajian ini berdasarkan 90,000 maklum balas daripada petugas kesihatan di 27 negara Kesatuan Eropah serta Iceland dan Norway turut mendedahkan bahawa sepertiga doktor dan jururawat telah mengalami buli atau ancaman keganasan di tempat kerja dalam tempoh setahun lalu.
Sebanyak 10 peratus pula melaporkan menjadi mangsa keganasan fizikal dan/atau gangguan seksual.
Seorang daripada empat doktor bekerja lebih daripada 50 jam seminggu, menurut laporan itu.
Lebih 30 peratus doktor dan satu perempat jururawat pula bekerja dengan kontrak sementara, yang dikaitkan dengan peningkatan keresahan terhadap jaminan pekerjaan. – AFP


