NEW DELHI, 21 SEPT – Dewan Rakyat Parlimen India kelmarin meluluskan satu rang undang-undang yang akan meningkatkan lebih daripada dua kali ganda bilangan ahli parlimen wanita dalam barisannya, selepas beberapa percubaan gagal untuk melaksanakan langkah itu sejak beberapa dekad.
Undang-undang yang dicadangkan itu akan memperuntukkan satu pertiga daripada kerusi di Dewan Rakyat India dan Dewan Undangan Negeri untuk wanita sebaik sahaja ia berkuat kuasa, yang boleh mengambil masa sehingga sekurang-kurangnya penghujung dekad ini.
Ia tidak akan berkuat kuasa sebelum pilihan raya kebangsaan tahun depan tetapi akan menjadi penguat kepada kedudukan yang sudah pun kukuh parti Perdana Menteri, Narendra Modi menjelang pilihan raya itu.
Sebanyak 454 ahli parlimen mengundi bagi menyokong rang undang-undang itu, dengan hanya dua menentang.
“Cadangan itu telah diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir di dewan,” kata Om Birla, speaker parlimen.
Modi, menyebut dirinya ‘gembira’ di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, sambil mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parlimen yang mengundi merentasi parti dan berkata ia akan ‘mengukuhkan lagi’ pemerkasaan wanita.
Menurut statistik kerajaan, hanya 104 daripada 788 ahli parlimen India adalah wanita selepas pilihan raya kebangsaan terakhir lebih sedikit daripada 13 peratus. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P11-1A-AP_2209023.jpg)