Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    September catat ketiga terpanas dalam rekod dunia

    PARIS, 9 OKT – Dunia baru sahaja mengalami bulan September ketiga terpanas dalam rekod sejarah, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus hari ini, apabila purata suhu global kekal hampir pada tahap tertinggi untuk satu bulan lagi.

    September 2025 tidak memecahkan rekod yang dicatat pada 2023 dan hanya sedikit lebih sejuk berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata pemantau pemanasan global Kesatuan Eropah (EU).

    “Konteks suhu global kekal sama, dengan suhu permukaan darat dan laut yang tinggi mencerminkan pengaruh berterusan daripada pengumpulan gas rumah hijau di atmosfera,” kata Samantha Burgess, ketua strategik iklim di Copernicus.

    September mencatat suhu 1.47°C lebih tinggi daripada purata 1850–1900 yang digunakan untuk mentakrifkan era pra-industri sebelum aktiviti manusia mula memberi kesan ketara kepada iklim.

    Peningkatan kecil ini mungkin kelihatan tidak besar, namun saintis menegaskan bahawa setiap perbezaan kecil dalam peningkatan suhu boleh terus menggugat kestabilan bumi, meningkatkan risiko cuaca ekstrem dan mencetuskan titik perubahan iklim yang merosakkan.

    Seorang lelaki berehat di bawah sistem semburan kabus air untuk menyejukkan badan pada hari yang panas di Tokyo, pada 6 September. – AFP

    Suhu global meningkat secara berterusan disebabkan pelepasan gas rumah hijau oleh manusia, terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil secara besar-besaran sejak revolusi perindustrian.

    Saintis menjangkakan tahun 2025 akan menjadi tahun ketiga terpanas selepas 2024 dan 2023, dengan suhu beberapa bulan kebelakangan ini hampir menyamai rekod dalam tempoh luar biasa ini.

    Negara-negara dunia bakal berdepan realiti ini apabila mereka berhimpun di Brazil bulan depan untuk rundingan iklim tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan tindakan kolektif terhadap pemanasan global.

    Ekonomi utama dunia masih gagal mengurangkan pelepasan dengan cukup cepat untuk mengelak kesan terburuk perubahan iklim, malah banyak yang masih meluluskan projek baharu minyak, arang batu dan gas.

    Copernicus menggunakan berbilion ukuran daripada satelit, kapal, pesawat dan stesen cuaca bagi membantu pengiraan iklimnya.

    Rekod Copernicus bermula sejak 1940, tetapi sumber data iklim lain seperti teras ais, cincin pokok dan rangka karang, membolehkan saintis membuat kesimpulan dengan bukti dari masa yang lebih jauh ke belakang.

    Saintis berkata tempoh semasa ini berkemungkinan besar merupakan yang paling panas di Bumi dalam tempoh 125,000 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda