BINTANG-BINTANG bergemerlapan di angkasa raya diselubungi gelapnya malam yang hitam pekat, dingin embun menambahkan lagi sejuknya suasana malam dan sayu tika itu, dalam kesendirian itu aku termenung sambil mendongak ke langit hitam yang hanya diterangi cahaya bintang dan bulan yang kelihatan samar, gitar yang ku pegang ku sandarkan di sebelahku, fikiranku buntu buat seketika. Bunyi cengkerik mulai bersahut-sahutan, dengan tidak semena-mena hati ku mulai merasa sayu, fikiranku melayang entah kemana dihanyutkan oleh alunan melodi alam yang begitu indah sekali di halwa telingaku, air mataku mula mengalir jatuh. “Hei..kamu.”
Kedengaran satu suara menegurku, ku pandang sekelilingku, tiada siapa pun yang bersamaku dan saat itu baru ku sedar bahawa suara itu datangnya dari fikiranku sendiri. “Kamu pelajar baru? Sila masukkan pakaian kamu sekarang,” tegas seorang pengawas perempuan yang parasnya molek dipandanganku. “Err..maaf tak perasan terkeluar tadi.”
Pertama kali ku pandang wajahnya, hati ini terasa berdebar tak menentu walaupun ketika itu umurku hanyalah setahun jagung. “Cinta monyet yang mulai menjalar di hati ku?” lamun ku sendiri. Namun ku biarkan sahaja perasaan yang belum pasti kebenarannya. Sudah menjadi lumrah manusia bila melihat seseorang yang punyai paras yang baik pada seseorang kita akan menaruh hati padanya.
Waktu ketika itu ku rasa terlalu pantas berlalu, tanpa berlengah lagi aku pun menuju ke kelas yang telah diberitahu oleh salah seorang tenaga pengajar ketika aku mendaftarkan diri di bilik guru bersama penjaga yang datang menemaniku.
Hari ini, sudah masuk seminggu lebih aku terlewat mendaftarkan diri ke sekolah atas sebab-sebab tertentu dan sudah tentu banyak sekali perkara yang perlu ku kejar dalam tempoh yang sesingkat ini.
Aku mengambil duduk di tempat yang telah disediakan dan memerhatikan keadaan sekelilingku, barulah ku sedar ada beberapa pasang mata yang sedang memandang ke arahku, ada yang sedang berbisik-bisik juga tak kurang mereka yang langsung tidak memperdulikan kehadiranku di sini, janggal terasa bila ditempat baru.
Setelah lama aku memerhati keadaan sekeliling, aku terlihat kelibat gadis molek yang menegurku di luar tadi, dan lebih tak disangka-sangka dia juga berada di kelas yang sama dengan ku, duduk di barisan hadapan. Aku hanya berdiamkan diri tanpa sepatah kata sebagai orang baru.
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula, aku lihat terlalu ramai pelajar termasuk para guru yang beratur membeli makanan di kantin sekolah hari itu, perutku pula masih lagi terasa kenyang mungkin kerana aku berada di tempat baru, rasa gemuruh lebih menguasai dan rasa lapar tidak terasa.
Waktu rehat masih panjang, aku mengambil keputusan untuk meronda di sekitar tempat baru bagi memerhati keadaan sekolah. Penat berjalan mengelilingi sekolah aku singgah di perpustakaan yang ku lewati sebentar tadi, tujuanku ingin mencari beberapa buah buku untuk dibaca bila saampai di rumah nanti.
” Ehh..maaf ” aku ucapkan bila buku yang ku ambil saat itu kebetulan diambil serentak oleh seseorang. Rupanya gadis yang menegurku tadi juga mengambil buku yang sama. “Apakah ini hanya kebetulan saja? ” getus hatiku. “Tak mengapa..maaf juga, tapi kalau awak nak baca buku tu awak baca la dulu.” Balasnya. Aku merasa hairan dengan sifatnya yang begitu ramah kali ini dan berbeza saat pertama kali aku bertemu dengannya.
“Betul ke tak mengapa?” tanyaku kembali. “Ye..sebenarnya saya dah banyak kali baca buku tu..cuma tak puas baca lagi..awak bacalah buku tu best tau” sambungnya sambil melemparkan senyuman yang manis. Sejak pertemuaan kami hari itu, hubungan persahabatan kami semakin hari semakin akrab, saling bantu membantu dan memberi tunjuk ajar antara satu sama lain.
Walaupun sering kali keakraban kami menjadi bahan ejekan rakan sekelas, bagiku itu semua tak penting lagi malahan aku gembira sekali jika ianya memang benar. Dan kau seringkali menyangkal hinggakan kau terkadangnya menangis angkara ejekan mereka..aku pula tak pedulikan itu semua kerana bila kita bersama apapun yang mereka katakan, ianya hanya akan menambah e-ratkan lagi hubungan persahabatan kita dan ini amat menyenangkan hatiku sebagai kawan dan sahabat yang baik. Aku terpana sediri dengan kata-kata yang terlintas di fikirkanku tadi. “Sebagai kawan dan sahabat? ” hatiku tiba-tiba menjadi resah sendiri.
“Rina, awak suka tengok bintang tak?” tanyaku. “Mestilah saya suka,” balas Rina. “Baguslah kalau macam tu..kalau malam ni kita tengok bintang sama-sama nak?””Boleh juga..tapi kat mana?””Kat laman belakang rumah saya ada bukit dengan tanah lapang..best kalau tengok bintang kat sana” kataku. “Wah..kalau macam tu okey la.” Rina tersenyum. Mulai hari itu bila kami ada masa lapang pasti akan pergi melihat kerlipan bintang bersama jika Mak dan Ayah ku pulang awal dari kerja..kami sekeluarga pasti akan pergi melihat bintang bersama-sama di tanah lapang tersebut sambil mengadakan barbeku dan sesi bercerita, itulah saat yang paling bahagia ku rasakan saat itu.
Aku dan Rina kini telah selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun yang seterusnya akan menentukan haluan masing-masing di masa hadapan. Persahabatan kami selama ini umpama isi dan kuku sekurang-kurangnya itulah apa yang aku fikirkan buat masa itu, terlalu daif. “Aizul, bila besar nanti awak nak jadi apa? ” tanya Rina. “Ehh..saya tak tau lagilah..” balasku kembali. “Rina pula nak jadi apa bila dah habis belajar?” tanyaku pula. “Saya nak jadi model..tak pun pramugari pun okey..” jawabnya. “Kalau begitu saya nak jadi pilot””Kenapa pula tiba-tiba nak jadi pilot?” tanya Rina dengan rasa hairan. “Sebab Rina kan pramugarinya..jadi boleh la jumpa tiap hari” balasku.
Suasana menjadi hingar dengan gelak ketawa kami, kedengaran begitu kuat sekali. Namun perasaan gembira dan senang itu tidak bertahan lama bila aku teringat kata-kata yang diucapkan oleh Mak semalam, suasana kembali sepi dan masing-masing membisu tanpa kata. Setelah lama berdiam diri, aku mula membuka mulut ingin memastikan aku tidak salah dengar dan sungguh ku harap itu hanya khabar angin. “Err..Rina, betul ke lepas habis peperiksaan ni kau nak berpindah ke tempat yang jauh?” tanyaku. Dia hanya membisu seketika tanpa berkata sepatah apa pun, ketika itu aku benar-benar diburu rasa bersalah. “Apa aku sudah tersalah cakap?” aku bermonolog.
Namun belum sempat aku membuka mulut memohon maaf, dengan pantas Rina membalas dengan anggukan dan senyuman lalu memandang ke arahku, kelihatan matanya sedang berkaca-kaca menahan air mata. Jantungku berdegup laju darah ku hangat terasa di seluruh tubuh, senyuman yang manis daripada gadis yang merebut hatiku begitu mempesona bagaikan merentap seluruh ragaku walaupun dia terpaksa tanpa kerelaan hati, itu adalah senyuman dan tangisan terakhir untuk ku tatapi.
Aku tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan yang sudah sedia dirundung kesedihan. “Kalau begitu..berhati-hati bila di tempat orang, saya doakan awak semoga berjaya di perantauan” aku membalas dengan memberikan kata-kata semangat padanya.
Tidak aku sanggup lagi melihat Rina menitiskan air mata ketika itu walhal diri ini sudah cukup terhiris dengan kenyataan itu. “Malam ni kita tengok bintang boleh tak buat kali terakhir?””Boleh..saya pun banyak benda nak cerita kat awak” balas Rina. “Yeke..kalau macam tu saya pun sama” balasku. “Okey..sebelum saya terlupa, malam ni jangan lupa datang ke rumah ada kenduri doa selamat bawa makcik dan pakcik sekali ok, lepas tu baru kita tengok bintang..boleh kan?” Rina memberitahu ku. “Boleh..jumpa malam nanti.” Balasku. Kami berpisah di simpang jalan, seperti berpisahnya kami di persimpangan hidup ini.
“Mak, malam ni Rina sekeluarga nak jemput kita sekeluarga datang kerumahnya sebab ada kenduri doa selamat.” kataku pada Mak. “Yeke..sebenarnya Mak dah tahu dah..tadi Mak jumpa dengan Ibu si Rina kat pasar waktu beli sayur dan ikan,” balas Mak. “Oh..kalau begitu Zul nak masuk bilik dulu..nak rehat kejap.”Aku pun berjalan dengan malas menuju ke bilikku lalu ku rebahkan badan ke katil, “Hari ni aku mesti bagi kat Rina,” gumamku dalam hati. Ku buka sebuah kotak kecil dari dalam laci meja dan ku ambil sepucuk surat yang ku tulis setahun yang lalu, sepucuk surat yang mengandungi semua tentang isi hatiku pada Rina, tertulis di dalamnya yang tersusun indah dan membentuk metafora kata-kata si penulis terhadap si puteri impiannya.
Detik demi detik masa berlalu, hari yang cerah dan panas mulai ditelan kegelapan digantikan suasana malam yang sejuk dan tenang. “Aizul.. Mak dan Ayah pergi dulu ke rumah pakcik Saifful tu..kamu jangan lambat pula” “Baik Mak..nanti Zul datang..nak mandi dulu” balasku. “Assalamualaikum Aunty..Aizul mana?” tanya Rina. “Waalaikumsalam..ehh..Rina rupanya..Aizul kata tadi dia nak mandi dulu baru datang katanya..tapi dah lambat sangat budak ni” “Kalau macam tu biar Rina jemput dia kat rumah Aunty la ye?” “Okey..bagus la kalau begitu..tapi hati-hati bila melintas di jalan tu..gelap, kereta pula laju-laju..” “Baik Aunty..Rina pergi dulu,” balasnya sambil memberi salam dan berlalu pergi.
Selesai membersihkan diri dan berpakaian kemas, aku selitkan surat yang ingin ku berikan pada Rina malam itu di dalam saku baju melayu ku. Belum sempat ku melintas jalan aku terlihat kelibat Rina di bawah samar cahaya bulan sedang menyeberang jalan menuju ke arah ku. Tiba-tiba satu cahaya yang sangat terang dari arah tepi meluru laju.
“Rina!!!!” teriakku. “Skreeetcch..Bamm!! bunyi sesuatu dilanggar dengan keras. Aku berlari dengan pantas ke arah Rina, manakala aku lihat pemandu yang melanggar sudah pengsan akibat keretanya terbabas di jalan bertentangan dan melanggar tiang lampu di seberang jalan, dengan pantas aku mendapatkan Rina.
“Rina! Rina! Bertahan!” aku memangku kepalanya yang sudah dipenuhi darah. “Tolong!” aku berteriak sekuat hati berharap agar sesiapapun boleh mendengar. “Rina! Tolong bertahan okey? Jangan tutup mata..bertahanlah” rayuku bersungguh-sungguh. “Tolong!!!!!” kali ini aku berteriak dengan lebih kuat.
“Abang Saifful! Anak abang si Rina kemalangan di jalan!” teriak seorang pemuda. Ibu kepada Rina yang mendengar ketika nama anaknya disebut sudah rebah tidak sedarkan diri, majlis kenduri menjadi hingar bingar atas peristiwa yang telah berlaku malam itu. Mak dan Ayahku juga tidak senang duduk mendengar berita kemalangan yang menimpa diri Rina hari itu.
“Rina..tolong..jangan pergi..””Kita dah janji kan?””Kita akan pergi tengok bintang bersama””Awak ada benda nak beritahu kat saya kan?” rayuku tanpa menyedari titis air mataku sudah berderai jatuh.”Saya pun ada nak bagi kat awak, tolong jangan pergi Rina!” rayuku lagi. Tanpa ku sedari jari jemari Rina sudah membelai wajahku dengan lembut, titis air mataku mengalir lagi melihat keadaannya. “Bintang hari ni sangat cantik, saya suka..terima kasih Zul..” katanya dengan suara yang perlahan. “Dah Rina tak perlu cakap banyak..Rina mesti selamat, jadi bertahanlah..” dalam sendu aku berkata.
Rina telah meninggalkan kami pada malam itu, pergi meninggalkan sejuta kenangan dan senyuman yang tak pernah luntur dari bibirnya. Aku terduduk di tempat kejadian bersama lumuran darah yang terpalit di seluruh tubuhku bagaikan tak percaya dengan apa yang terjadi, tidak ku sangka segalanya begitu cepat berlalu dan semuanya musnah hanya dalam satu malam dengan sekelip mata, baru sebentar ku lihat kelibatnya namun kini sudah tiada lagi.
Setahun kini sudah berlalu, nama Rina sentiasa berada dalam ingatan ku buat selama-lamanya, cinta pertama ku yang tak kesampaian tapi Tuhan lebih menyayangi, pemergiannya tanpa sesalan tapi itulah dugaan buat ku, terutama keluarganya yang lebih menyayangi serta merinduinya. Angkasa raya malam itu benar-benar membuka mata ku dengan keindahan di temani cahaya bulan yang dipagari indahnya bintang-bintang diselubungi langit tirai malam. Gitar yang sentiasa menemani, ku ambil dan mulai memainkan sebuah lagu ciptaan sendiri, bertemankan “sepucuk surat untuk bintang,” di bawah sinaran lampu cahaya bulan, serta diiringi latar simfoni alam yang merdu bersahutan, air mataku menitis lagi.