Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepupu bekas presiden Syria ditahan pihak berkuasa

    SYRIA, 22 JUN – Pihak berkuasa Syria telah menahan seorang sepupu kepada bekas Presiden Syria, Bashar Assad, yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan penglibatan dalam kegiatan pengedaran dadah dan sokongan kepada pasukan yang setia terhadap kerajaan yang telah digulingkan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, kelmarin.

    Kementerian tidak menyatakan bila atau di mana Wassim Badi Assad ditahan. Ia hanya menyebut bahawa beliau dikehendaki dalam beberapa kes berkaitan pengedaran dadah dan jenayah lain sebelum pemberontak menggulingkan keluarga Assad pada Disember lalu, menamatkan pemerintahan selama 54 tahun. Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan terhadap Wassim Assad pada Mac 2023. Menurut kenyataan mereka, Wassim Assad secara terbuka menyeru penubuhan militia bersifat sektarian bagi menyokong kerajaan dan merupakan individu utama dalam rangkaian pengedaran dadah serantau, dengan bekerjasama dengan pembekal berprofil tinggi untuk menyeludup barang larangan, Captagon dan dadah lain ke seluruh rantau.

    Konflik di Syria yang bermula pada Mac 2011 telah memecah-belahkan negara itu, melumpuhkan ekonominya dan mewujudkan persekitaran subur untuk penghasilan dadah perangsang seumpama amphetamine, Captagon. Militia, panglima perang dan kerajaan Assad disyaki mengubah penghasilan dadah daripada operasi kecil oleh kumpulan jenayah kepada sumber pendapatan industri bernilai berbilion dolar. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda