Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Penghormatan tinggi serta tanggungjawab amat besar bakal dipikul oleh kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) dalam penugasan misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Sehubungan itu, majlis penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada kontinjen ABDB telah diadakan di Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir pada upacara berkenaan ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.
Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pengarah, komandan, penasihat pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan tentera dan awam serta pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).
Acara diteruskan dengan upacara penyerahan bendera negara yang disampaikan oleh Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam kepada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam bagi MALBATT 850-11, Mejar Mohammad Hafizi bin Sabli.
ABDB telah menyertai misi pengaman UNIFIL sejak 2008 untuk menyelaraskan dan mempertahankan kepentingan Negara Brunei Darussalam dalam mengekalkan tiga tonggak utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia serta pembangunan.
ABDB tetap komited untuk menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau dan antarabangsa sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah keamanan dan kestabilan global.