Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara serah bendera kontinjen MALBATT 850-13 berlangsung

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 21 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan menyertai Malaysian Battalion 850-13 (MALBATT 850-13) dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dengan Upacara Penyerahan Bendera Kebangsaan bagi Kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai MALBATT 850-13 dalam misi pengaman UNIFIL yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.

    Hadir pada upacara berkenaan, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan.

    Turut hadir ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Timbalan Pengarah Jabatan Pertubuhan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Penasihat Pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Pegawai-pegawai Kanan dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan, serta ahli keluarga para anggota yang bakal menyertai misi pengaman berkenaan.

    Upacara dimulakan dengan penyerahan Bendera Kebangsaan oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi kepada Ketua Kontinjen ABDB bagi MALBATT 850-13, Mejar Mohd Ihya’uddin bin Haji Ishak, yang melambangkan amanah dan tanggungjawab negara yang bakal dipikul oleh para anggota misi.

    Upacara seterusnya diikuti dengan pemasangan lencana kepada Pegawai-pegawai dan ahli-ahli kontinjen, sebagai simbol pengiktirafan rasmi penyertaan mereka dalam misi berkenaan.

    Kemudian upacara diteruskan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Sejurus selesai upacara, kontinjen telah berlepas ke Malaysia menggunakan pesawat C295MW Tentera Udara Diraja Brunei, sebelum meneruskan perjalanan ke Lubnan dari Kuala Lumpur bermula 5 November mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan.

    Sejak penyertaan sulungnya pada 2008, ABDB telah memainkan peranan aktif dalam misi pengaman UNIFIL, yang mencerminkan komitmen teguh Negara Brunei Darussalam terhadap tiga teras utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Keamanan dan Keselamatan, Hak Asasi Manusia serta Pembangunan.

    Penyertaan ABDB yang konsisten itu, menzahirkan iltizamnya untuk terus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping menegaskan peranan ABDB dalam menyokong usaha-usaha keamanan dan keselamatan sejagat.

    Mejar Jeneral Dato Seri Paduka Haji Muhammad Haszaimi menyerahkan bendera negara kepada Mejar Mohd Ihya’uddin.
    Gambar atas & bawah, Mejar Jeneral Dato Seri Paduka Haji Muhammad Haszaimi menyempurnakan pemasangan lencana kepada Pegawai-pegawai dan ahli-ahli kontinjen.

    Ahli keluarga yang hadir untuk mengucapkan selamat berlayar kepada anggota-anggota kontinjen. – GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda