Monday, December 23, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serah bunga api, dapat hadiah

    LOS ANGELES, 30 JUN – Bandar Los Angeles (LA) yang dibelenggu kemarau mengumumkan program pembelian balik bunga api akan diadakan hari ini sebelum cuti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) pada 4 Julai, berharap dapat mengawal penggunaan haram bunga api dalam situasi yang sama dengan program pembelian balik senapang.

    Inisiatif itu akan membenarkan penyerahan bunga api – dengan jualan dan penggunaannya diharamkan di bandar itu – kepada polis sebagai tukaran kepada tiket besbol dan hadiah lain.

    Sebahagian besar California mengalami kemarau amat teruk, menurut Badan Pengawas Kemarau AS, mewujudkan tumbuh-tumbuhan kering dan keadaan yang sesuai untuk kebakaran hutan.

    “Tahun lalu dengan pandemik dan pembatalan pertunjukan bunga api, kami melihat peningkatan 72 peratus dalam panggilan membabitkan penggunaan bunga api, kata ketua Jabatan Polis Los Angeles Michel Moore.

    Pada keseluruhannya, lebih daripada 6,000 panggilan diterima dan lebih empat tan bunga api dirampas, katanya.

    Program pembelian balik menyasarkan Lembah San Fernando di Los Angeles, satu kawasan gersang yang mudah terdedah kepada kebakaran.

    Selain risiko kebakaran dan kecederaan yang meningkat, bunga api yang dilancarkan oleh individu juga memburukkan pencemaran udara. Menurut pihak berkuasa kawalan kualiti udara, kepadatan zarah halus dalam udara pada malam 4 Julai 2020 adalah 70 peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya.

    Moore mengingatkan polis akan bertindak ke atas peruncit dan pengeluar yang menjual produk tersebut. – AP

    Gambar fail bertarikh 4 Julai 2020 menunjukkan bunga api membakar di pusat bandar Los Angeles, California semasa sambutan cuti Empat Julai, di tengah pandemik koronavirus.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda