Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serai Beranang ‘laku keras’

    Oleh Fatin Nabihah Marzuki

    SEMENYIH – Tatkala menjejakkan kaki ke Kampung Sasapan Batu Minangkabau di Beranang, penulis terpegun melihat hamparan ladang serai yang menghijau, luas terbentang.

    Boleh dikatakan setiap rumah penduduk kampung di situ mempunyai tanaman serai untuk kegunaan sendiri.

    Ini memandangkan serai memang banyak digunakan dalam hidangan setiap hari, bukan sahaja oleh masyarakat Melayu, malah turut menjadi kemestian penduduk di Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan India.

    Selain terkenal sebagai ‘ubat’ penghalau nyamuk serta pelbagai serangga, serai juga banyak kegunaannya sama ada untuk tujuan kesihatan mahupun perubatan kerana khasiatnya yang tersendiri.

    Mungkin ramai tidak tahu bahawa Beranang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Semenyih di daerah Hulu Langat adalah antara pengeluar serai terbesar di Malaysia.

    Nor Azman Md Said, menunjukkan tanaman serai jenis peha ayam yang diusahakannya di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang. – Bernama

    Jadi, tidak hairanlah jika terdapat kira-kira 500 penduduk di seluruh Beranang mengusahakan ladang serai secara kecil-kecilan yang keseluruhannya merangkumi tanah seluas kira-kira antara 283 hingga 324 hektar, untuk tujuan komersial.

    Serai ganti padi

    Penduduk kampung berkenaan, Nor Azman Md Said, 44, yang mengusahakan tanaman serai di tanah seluas 2.4 hektar berkata, sejak 30 tahun lalu, kebanyakan tanah di Beranang yang asalnya sawah padi mula ditanam dengan serai berikutan masalah sistem saliran yang menyebabkan para petani tidak dapat bersawah lagi.

    Menurut Nor Azman yang merupakan generasi kedua keluarganya mengusahakan tanaman itu, terdapat beberapa jenis serai yang ditanam iaitu serai peha ayam, serai gajah dan serai kampung.

    Kumpul pengusaha agar sistematik

    Menjelaskan lanjut, beliau berkata serai peha ayam yang banyak ditanam di kampungnya, mengambil masa kira-kira enam bulan untuk matang sebelum boleh dituai.

    Serai jenis ini sangat Wangi dan sesuai untuk masakan seperti tomyam.

    Harga seikat serai (4kg) ketika ini adalah RM11 dan pada kadar itu sememangnya memberi keuntungan lumayan di mana hasil daripada jualan bagi satu ekar (0.4 hektar) tanaman serai boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000.

    Pengurus dan Penolong Pegawai Ekonomi Pertubuhan Peladang Kawasan Beranang, Shafeq Mahzan Mohd Amin berkata hampir 80 peratus ekonomi penduduk di sekitar Beranang dijana melalui jualan serai.

    “Memandangkan terdapat kira-kira 500 pengusaha serai di sini, kami sedang berusaha untuk mengumpulkan mereka di bawah satu bumbung supaya aktiviti berkaitan serai dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan terurus,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda