Sunday, November 24, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seramai 200 orang hadiri Majlis Perhimpunan Mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Kira-kira 200 orang mualaf dari keempat-empat daerah menghadiri Majlis Perhimpunan Mualaf Senegara yang merupakan kali kedua anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama diungkayahkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah-daerah bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis bertemakan Sinar Dakwah 40 Tahun di Negara Zikir itu diadakan bersempena dengan Jubli Delima Pusat Dakwah Islamiah 1406 hingga 1446H.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Acara kemudiannya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, yang antara lain menyatakan tujuan majlis tersebut adalah untuk menyebarluaskan dakwah Islam kepada para mualaf dan bukan Islam serta sebagai platform untuk meningkatkan motivasi dan menarik minat para mualaf agar menghadiri majlis ilmu.

    Di samping itu, ia adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada para mualaf berkongsisama dan bertukar pengalaman.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Program itu juga merupakan usaha pemedulian PDI terhadap kemaslahatan saudara-saudara baru di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis turut diserikan lagi dengan ceramah khas bertajuk Cabaran Mualaf Tangani Masalah Kesihatan Mental disampaikan oleh Profesor Madya Dato Dr Mohd Farid Ravi bin Abdullah.

    Seterusnya Yang Berhormat Pehin kemudiannya merasmikan Kad Imbasan Mudahnya Mendirikan Sembahyang, Bacaan Dalam Sembahyang yang diusahakan oleh Tarbiyah Mualaf, PDI.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan juga mengadakan kunjungan ke petak-petak jualan oleh Konsortium Muallafprenuers dan kemudiannya menyaksikan pameran oleh Persatuan Nurul Islam, Daerah Brunei Muara; Persatuan Saudara saudara Baru, Daerah Tutong; Persatuan Sinar Islam, Daerah Belait; dan Persatuan Saudara-saudara Baru, Daerah Temburong.

    Majlis seumpama itu diharap dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan ajaran agama Islam dalam kalangan mualaf agar dapat diterapkan dalam kehidupan seharian di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim para mualaf dari keempat-empat daerah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda