Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Seramai 40 orang peserta telah menyertai Bengkel Taharah bagi ahli-ahli jawatankuasa masjid, Muslimah dan belia masjid yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Bunga, kelmarin.
Bengkel yang dianjurkan oleh Bahagian Imarah Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta Jawatankuasa Takmir Masjid Sungai Bunga itu dikendalikan oleh Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor. Beliau menyampaikan beberapa perkara mengenai memahami kelebihan, erti, cara bersuci, kebersihan serta fadilat taharah.
Matlamat bengkel berkenaan diadakan adalah sebagai sumber ilmu pengetahuan yang berguna dan melibatkan institusi masjid sebagai tempat gedung pendidikan agama di mana kejayaannya melahirkan masyarakat yang cemerlang.
Antara lain tujuan bengkel ialah memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan mengenai taharah dan mendekatkan diri masyarakat kampung dengan masjid.
Bengkel berkenaan juga bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran dalam kehidupan yang bermula dengan amalan kebersihan mengikut ajaran agama Islam.
