Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seramai 45 sertai bengkel kerjaya anjuran UNISSA

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) telah mengadakan Bengkel Kerjaya: Persiapan CV dan Temu Duga, hari ini.
     
    Seramai 45 peserta terdiri daripada alumni, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA telah mengikuti bengkel berkenaan yang diadakan di Dewan Auditorium, UNISSA,Gadong.
     
    Bengkel Kerjaya itu dimulakan dengan sesi bengkel CV yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Manpower Planning and Employment Council (MPEC), JobCentre Brunei (JCB), Haji Abdul Azim bin Haji Salleh. 
     
    Beliau antara lain mengongsikan beberapa maklumat yang relevan untuk dimasukkan ke dalam CV dan memberi tunjuk ajar contoh CV yang betul dan salah secara terperinci. Sesi bengkel CV diakhiri dengan soal jawab daripada para peserta dan aktiviti menguji kefahaman peserta.
     
    Sesi bengkel temu duga pula disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, MPEC, JCB, Awang Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar. Sesi bengkel temu duga diisikan dengan perkongsian beberapa tip sebelum, semasa dan selepas menghadiri temu duga.
     
    Para peserta kemudiannya diberikan peluang untuk mengajukan soalan dan diberikan aktiviti bagaimana menjawab beberapa soalan lazim di dalam temu duga.
     
    Bengkel Persiapan CV dan Temu Duga diakhiri dengan temu duga olok-olok dan seterusnya diberikan beberapa maklum balas mengenainya daripada pihak MPEC, JCB.
     
    Antara tujuan bengkel itu ialah untuk memberi tunjuk ajar dalam menghasilkan CV yang efektif dan membantu meningkatkan kemahiran menjawab soalan temu duga. 
     
    Hasil bengkel tersebut diharapkan dapat memberi manfaat kepada para peserta agar lebih bersemangat dalam membuat persiapan CV dan temu duga dengan jayanya.
     
    Para peserta diberikan aktiviti cara menjawab beberapa soalan lazim semasa temu duga olok-olok. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda