Oleh Nour Maghfirah –

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Mahkamah Majistret baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan ke atas seorang lelaki tempatan selepas didapati bersalah menyerang seorang lelaki dan menyebabkan kerosakan harta benda dalam satu insiden tahun lalu.
Ezzeddin bin Haji Abdul Rahman berdepan dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa lelaki dengan menumbuk bahagian kanan kepala mangsa, serta melakukan khianat dengan menggunakan lastik untuk melontar kekacang ke arah tingkap kaca hadapan rumah mangsa, yang mengakibatkan kerosakan bernilai $1,900.
Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Musawwir Haji Mahli mengemukakan lapan orang saksi, termasuk mangsa dan anak perempuannya yang merupakan saksi utama kejadian.
Keterangan mereka disokong oleh rakaman CCTV yang menunjukkan tertuduh merosakkan harta benda sebelum menyerang mangsa. Laporan perubatan turut mengesahkan kecederaan yang konsisten dengan hentakan objek tumpul.
Tertuduh dalam pembelaannya menafikan pertuduhan dan mendakwa bertindak untuk mempertahankan diri, serta menyatakan bahawa kenyataan kepada pihak polis dibuat di bawah tekanan.
Namun begitu, mahkamah mendapati penjelasannya bercanggah, tidak konsisten dan tidak meyakinkan.
Majistret Qamarul Affyian Abdul Rahman memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kedua-dua pertuduhan tanpa keraguan munasabah, dan memilih untuk menerima keterangan pihak pendakwaan berbanding keterangan tertuduh.
Semasa menjatuhkan hukuman, mahkamah menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan melibatkan keganasan dan kerosakan harta benda yang disengajakan, justeru hukuman penjara adalah wajar.


