Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Serangan 108 hari Israel ragut nyawa 11,000 kanak-kanak di Gaza

    ISTANBUL, 23 JAN – Serangan tentera Israel telah membunuh 11,000 kanak-kanak dan 7,500 wanita di Semenanjung Gaza dalam tempoh 108 hari yang lalu, kata Pejabat Media Kerajaan Gaza kelmarin.

    Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata di wilayah terkepung itu, seramai 7,000 orang – 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak – masih tertimbus di bawah runtuhan atau hilang dalam serangan Israel, lapor agensi Anadolu (AA).

    Bilangan mayat yang sampai di hospital telah melebihi 25,900 manakala 63,000 penduduk Palestin cedera sejak konflik bermula 7 Oktober lepas.

    Kira-kira 70,000 rumah telah musnah dalam serangan Israel dan 290,000 lagi rumah tidak dapat didiami.

    Mengenai serangan Israel ke atas sektor penjagaan kesihatan, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata 337 pekerja penjagaan kesihatan dan 45 pegawai pertahanan awam telah terbunuh setakat ini.

    Dalam tempoh sama, seramai 119 wartawan turut terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.

    Selain itu, tentera Israel menahan 99 pekerja penjagaan kesihatan dan 10 wartawan manakala dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

    Merujuk kepada keadaan tidak berperikemanusiaan di pusat perlindungan penuh sesak di Gaza, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata sebanyak 400,000 kes penyakit berjangkit dan lebih 8,000 kes Hepatitis A telah dikesan akibat pemindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa oleh Israel.

    Kira-kira 60,000 wanita hamil di Gaza juga berdepan risiko kritikal kerana ketidakupayaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan manakala 350,000 individu yang menghidap penyakit kronik berdepan risiko kritikal kerana kekurangan ubat-ubatan. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...